Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

228) MEMBANTERAS AMALAN RASUAH

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah pentadbiran Kerajaan di peringkat PBN dan PBT boleh dikatakan 100% bebas daripada rasuah?

    Pentadbiran Kerajaan di peringkat PBN dan PBT tidak boleh dikatakan 100% bebas daripada rasuah kerana masih terdapat anggota yang disabitkan di atas kesalahan rasuah pada tahun 2013 (seorang) dan 2014 (seorang).

  2. Apakah kriteria yang ditetapkan untuk mewujudkan persekitaran bebas rasuah dalam prasarana pentadbiran Kerajaan?

    Kerajaan telah pun mengeluarkan Perintah Am, Arahan Perbendaharaan dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) yang menetapkan peraturan-peraturan dan kriteria yang perlu dipatuhi oleh semua penjawat awam, di mana ia turut melibatkan aspek-aspek pencegahan elemen rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di dalam pentadbiran Kerajaan. Di samping itu, Kerajaan juga dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan- arahan pentadbiran lain yang menjurus kepada elemen pencegahan rasuah seperti peraturan menerima hadiah, penglibatan dalam politik serta keahlian di dalam kelab golf oleh penjawat awam. Sekiranya semua penjawat awam mematuhi kesemua peraturan yang telah ditetapkan, ia akan memastikan pentadbiran Kerajaan bebas daripada amalan

  3. Apakah strategi, program dan agensi yang melaksanakannya?

    Strategi utama di dalam menangani masalah rasuah adalah pencegahan dan punitif. Agensi utama yang bertanggungjawab untuk melaksanakan kedua-dua strategi tersebut adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat telah mengambil beberapa pendekatan yang lebih holistik dengan melaksanakan dua strategi komunikasi selaras dengan seksyen 7(f) Akta SPRM 2009 untuk mendidik orang ramai menentang rasuah serta mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah. Pendidikan secara bersemuka merupakan strategi paling berkesan untuk menyampaikan mesej anti rasuah kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, pelbagai program pendidikan masyarakat disediakan seperti berikut:

     

    • Ceramah Anjuran/Ceramah Jemputan/Ceramah Muzikal oleh dan kepada pelbagai agensi termasuklah kerajaan, swasta, sosio politik dan pelajar

     

    tentang perundangan, punca, kesan dan simptom serta langkah-langkah untuk mengatakan “Tidak Kepada Rasuah”.

    • Seminar/Konvensyen/Bengkel/Majlis-Majlis Penerangan/Taklimat
    • Perbincangan Meja Bulat
    • Program Turun Padang (TURPA)
    • Lawatan Sambil Belajar oleh agensi kerajaan/swasta/NGO/dan lain-lain

     

    Di samping pihak SPRM, setiap agensi dan jabatan Kerajaan juga turut memainkan peranan untuk memastikan pentadbiran Kerajaan adalah bebas daripada amalan rasuah. Mulai tahun 2013, Unit Integriti telah ditubuhkan di setiap jabatan kerajaan di mana salah satu fungsi utamanya adalah Pengukuhan Integriti yang merangkumi aspek pencegahan amalan rasuah.

Lampiran

Tiada Lampiran.