Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

214) TANAH PERKUBURAN BERSEPADU

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pendirian kerajaan terhadap Tanah Perkuburan Bersepadu

    Sebagaimana yang dijelaskan di dalam sidang dewan yang lepas, Kerajaan Negeri telah menjalankan Kajian Inventori Tanah Perkuburan dan Keperluan Perkuburan Sehingga Tahun 2060 di Negeri Selangor. Hasil kajian tersebut, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan konsep Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) di Negeri Selangor mengikut lokasi dan wilayah- wilayah kedudukan PBT. Kajian ini turut merumuskan penawaran tapak-tapak perkuburan semasa dan keperluan perkuburan di Negeri Selangor untuk tempoh 50 tahun iaitu sehingga tahun 2060. Cadangan tapak-tapak PWB dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahan sampaian dan kemudahan aksesibiliti untuk perkongsian bersama antara PBT yang berhampiran bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan PBT

     

    Sebagai cadangan awal, sejumlah empat (4) tapak perkuburan dengan  jumlah keluasan 300.63 hektar (742.87 ekar) telah dikenalpasti untuk dijadikan tapak perkuburan yang dicadangkan mengikut tampungan di 3 zon utama iaitu Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Timur.

     

    Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti keutamaan cadangan penyediaan tapak kawasan PWB untuk tujuan pengambilan tanah seperti berikut :

     

    1. Lot 3366 PN 11948 Mukim Labu, Daerah Sepang (100 ekar) ;
    2. Lot 5758 GRN 80611 Mukim Dengkil, Daerah Sepang (100 ekar) ; dan
    • 303 lot di Mukim Hulu Semenyih, Daerah Hulu Langat (165.79 ekar)

     

    Namun demikian, kajian terperinci perlu disediakan untuk memuktamadkan cadangan tapak-tapak tersebut.

     

    Bagi perancangan jangka pendek, Kerajaan Negeri akan menggunakan kawasan perkuburan sedia ada dengan penggunaan secara optimum.

     

     

  2. Berapa lagi kawasan perkuburan bersepadu yang akan diwujudkan untuk RMK11

    Perancangan kawasan perkuburan bersepadu dalam tempoh sehingga tahun unjuran 2060 telah dikenalpasti melalui Kajian Inventori Tanah Perkuburan dan Keperluan Perkuburan Negeri Selangor. Selaras dengan itu, di bawah RMK11 (2016-2020), sehingga tahun 2020 jumlah kawasan perkuburan yang perlu disediakan adalah 546.1 hektar (1349.4 ekar).

     

    Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan kelangsungan penyediaan kemudahan tanah perkuburan ini bagi menampung pertambahan penduduk pada masa akan datang. Bagi maksud itu, bagi permohonan cadangan pembangunan yang berskala besar perlu menyediakan tapak kemudahan perkuburan bagi menampung keperluan penduduk Selangor. PBT di peringkat Kebenaran Merancang perlu memastikan keperluan perkuburan ini adalah mencukupi dan mematuhi garis panduan perancangan yang disediakan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.