Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
184) CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) YANG DIKENAKAN TERHADAP KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Senaraikan jenis perkhidmatan di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (CBP) atau Goods & Service Tax (GST) adalah cukai kepenggunaan yang dibayar oleh pengguna terhadap barangan dan perkhidmatan yang disenaraikan oleh perintah dan peraturan di bawah Akta Cukai Barang & Perkhidmatan 2014 (Akta 762). Untuk mengelakkan kekeliruan, terdapat dua kategori cukai GST yang perlu difahami iaitu Input Tax dan Output Tax. Input Tax adalah cukai GST yang dibayar semasa membeli barang dan perkhidmatan yang tertakluk kepada GST di mana barang dan perkhidmatan tersebut diperlukan dalam proses menyediakan bekalan dan perkhidmatan akhir (end product & sevices). Manakala Output Tax pula adalah cukai GST yang dikenakan kepada pelanggan semasa membayar untuk perkhidmatan dan bekalan tersebut.
Pada asasnya, Jabatan/agensi di bawah Kerajaan Negeri juga berperanan sebagai pengguna apabila melaksanakan perolehan bekalan, kerja dan perkhidmatan khusus untuk menyempurnakan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Di dalam proses ini, jabatan/agensi di bawah Kerajaan Negeri perlu membayar GST dalam bentuk Input Tax pada kadar 6% bagi semua perolehan perkhidmatan dan kerja. Namun begitu, di bawah peraturan semasa terdapat pengecualian (Relief) GST bagi perolehan bekalan (barang) yang dibuat oleh Kerajaan di mana pengecualian ini boleh didapatkan dengan cara mengemukakan Sijil Pelepasan GST (Certificate of GST Relief – CoGSTR) kepada pihak pembekal.
Dalam konteks Output Tax, perlu dijelaskan di sini bahawa barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah tidak dikenakan GST selaras dengan maksud Seksyen 64 (a), Akta Cukai Barangan Dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) seperti berikut:-
Akta ini tidak terpakai berhubung dengan apa-apa pembekalan atau perkhidmatan yang dibuat oleh –
- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kecuali melainkan jika diarahkan selainnya oleh Menteri dalam perintah yang disiarkan dalam Warta ”
Walaubagaimanapun, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri adalah tertakluk kepada GST KECUALI perkhidmatan berkaitan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan. Senarai kategori perkhidmatan di bawah PBT dan Badan Berkanun yang dikenakan GST mengikut kod terimaan hasil adalah seperti berikut-
- Perkhidmatan Dan Bayaran Perkhidmatan;
- Perolehan Dari Jualan Barang;
- Hasil
-
Berapakah jumlah kos cukai GST yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor mengikut kategori?
Berdasarkan rekod, jumlah cukai GST yang telah di bayar oleh Kerajaan Negeri dalam tempoh bermula 1 April 2015 sehingga 31 Julai 2015 adalah seperti berikut:-
BIL KAEDAH PEROLEHAN AMAUN (RM) 1 Pembelian Terus 65,620.87
2 Tender 10,714,811.24 3 Sebut Harga 8,683,402.35 JUMLAH (RM) 19,463,834.46 -
Apakah kesan Cukai GST terhadap Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2015?
Belanjawan 2015 telah diluluskan sebanyak RM2,422,500,000.00 iaitu RM1,288,530,000.00 bagi perbelanjaan Mengurus dan RM1,133,970,000.00 bagi perbelanjaan Pembangunan. Sehingga 30 Jun 2015, prestasi perbelanjaan (termasuk tanggungan) Kerajaan Negeri ialah sebanyak 95% daripada peruntukan yang telah diagihkan dan ini menunjukkan prestasi yang direkodkan adalah mengikut perancangan. Oleh itu, cukai GST tidak memberi kesan yang signifikan ke atas Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2015 dan tiada peruntukan tambahan diperlukan bagi tujuan ini.