Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
138) BIASISWA PENUH IPT BAGI ANAK SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan terhadap pemberian biasiswa penuh IPT kepada anak-anak Selangor?
Pembiayaan kepada pelajar peringkat pengajian tinggi adalah dalam bentuk pinjaman tanpa
Pinjaman Pelajaran akan ditukar kepada biasiswa penuh bagi pelajar-pelajar yang tamat pengajian dengan CGPA melebihi 3.75 dan ke atas, tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pinjaman pelajaran juga ditukar kepada biasiswa penuh bagi pelajar-pelajar jurusan Perubatan, Pergigian dan veterinar setelah berjaya menamatkan pengajian dan mendapat penempatan.
-
Apakah faktor-faktor yang menghalang Kerajaan daripada menyalurkan wang rizab Negeri untuk melaksanakan pendidikan percuma di IPT Selangor?
Antara faktor utama yang menghalang pelaksanaan pendidikan percuma di IPT Selangor adalah perihal kewangan. Jika dilihat dari hasil pendapatan negeri Selangor, berbanding dengan pendapatan negara, negeri ini memperoleh hasil sekitar RM2 billion manakala hasil pendapatan negara adalah sekitar RM200 bilion. Ini sedangkan Selangor menyumbang lebih daripada 20% KDNK
Pembahagian yang tidak berpatutan ini merupakan halangan utama kerana jika dilihat di negara-negara luar seperti di Amerika Syarikat dan Australia yang juga mengamalkan sistem Persekutuan, pembahagian hasil negara adalah dibahagikan dengan lebih adil di antara negeri-negeri.
Jika dilihat di negara Jerman juga, yang mengamalkan sistem pendidikan percuma, pembahagian hasil cukai berdasarkan sistem “Federal Financial Equalisation” menyaksikan pembahagian cukai yang lebih efisyen dan adil di antara negeri dan mencecah hampir separuh hasil kutipan cukai-cukai tertentu (cukai syarikat, cukai pendapatan dan Value-Added Tax).
Oleh itu, jika hendak beri pendidikan percuma secara menyeluruh, ia di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor memandangkan pendidikan itu sendiri
di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, dan kerajaan negeri juga tidak mampu memberi pendidikan percuma kepada Universiti-Universiti Selangor berdasarkan implikasi kewangan.
Meskipun menyedari kesukaran yang dihadapi, Kerajaan Negeri tetap memberi fokus dan komitmen kepada bidang pendidikan seperti yang telah disampaikan di dalam pembentangan Bajet Selangor 2015.
Selain daripada mengkaji struktur yuran Universiti-Universiti seperti Unisel, KUIS dan INPENS, Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai bantuan bertujuan meringankan beban mahasiswa Selangor. Ini termasuklah Hadiah Anak Masuk IPT (HPIPT), Bantuan Sara Diri Kerajaan Negeri Selangor dan juga Tabung Biasiswa Selangorku yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar melalui Bajet Selangor 2015. Malah Bantuan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor yang bebas faedah juga boleh diubah menjadi biasiswa sekiranya pelajar memperoleh keputusan cemerlang sepanjang tempoh pembelajaran.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga, dengan usahasama Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) menyediakan latihan kemahiran secara percuma dan telah mendapat sokongan daripada pihak-pihak industri di Negeri Selangor. Program ini turut mendapat kerjasama IPT-IPT negeri.
Kerajaan Negeri Selangor juga sedang mengkaji satu cadangan dengan pihak Unisel untuk menyediakan satu modul pendidikan percuma, yang akan menyentuh bidang-bidang kemahiran tertentu dan boleh dijalankan ketika perlangsungan semester pembelajaran.
-
Berapakah jumlah dana diperlukan setahun bagi menjayakan pendidikan percuma di IPT Negeri?
Jumlah dana diperlukan setahun bagi menjayakan pendidikan percuma di IPT Negeri Selangor adalah sebanyak RM215,940,000.00 setahun berdasarkan data-data di institusi pengajian tinggi Negeri