Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
95) PUSAT SAMPAH HARAM
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah cabaran dihadapi untuk menutup pusat sampah haram & apakah peruntukan dalam Kanun Tanah Negara mengatasi masalah ini?
Antara cabaran yang dihadapi oleh PBT adalah:-
- Sikap pihak yang tidak bertanggungjawab yang membuang sampah domestik atau sampah pukal bukan di tempat pelupusan sampah yang disediakan adalah perkara yang dikenalpasti. Mereka ini ingin mengaut keuntungan supaya tidak perlu membayar “tipping fee” yang dikenakan oleh pusat pelupusan sampah secara sah;
- Selain pemilik-pemilik tanah yang memainkan peranan terjadinya tempat- tempat pelupusan sampah haram, ada juga pemilik tidak menjaga tanah masing-masing sehingga dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab;
- PBT perlu menyemak pemilik tanah tapak pusat sampah haram sama ada tanah milik persendirian atau hak milik kerajaan berikutan lokasi-lokasi tapak sampah haram didapati diluar kawasan operasi PBT;
- Selain itu, lokasi sampah haram juga banyak didapati di buang di rezab- rezab agensi kerajaan contohnya di tepi jalan JKR atau rezab JPS menyebabkan PBT perlu mencari bajet tambahan dan kos menyebabkan aduan dan kos perbelanjaan meningkat; dan
- Kuasa Undang-Undang Kecil PBT yang terhad;
Kanun Tanah Negara tidak mempunyai peruntukan secara khusus untuk menangani masalah pembuangan sampah di tanah-tanah hak milik. Namun peruntukan di dalam Kanun Tanah Negara menyebut tindakan Perlanggaran Syarat di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara boleh diambil sekiranya pemilik tanah melanggar syarat nyata tanah mereka seperti yang termaktub di dalam hakmilik. Namun demikian perampasan tanah bukanlah penyelesaian kepada isu ini kerana terdapat juga kes-kes pembuangan sampah di atas tanah kerajaan.
-
Kenapakah pihak Kerajaan Negeri masih gagal menutup pusat sampah haram iaitu di Sg Pusu, Batu 12 Gombak, Sri Gombak Fasa 9 & Kg Tengah Tambahan?
Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah melaksanakan usaha-usaha serta tindakan bagi menutup tapak-tapak pelupusan haram di lokasi yang dinyatakan. Antara langkah-langkah yang telah dan sedang diambil adalah:-
- Menanam penghadang;
- Memacak papan tanda amaran;
- Mengorek laluan lori;
- Merampas jentera;
- Operasi Statik di kawasan lokasi;
- Menghantar notis pelanggaran syarat tanah;
- Operasi bersepadu bersama PBT & Pejabat Tanah;
- Mengeluarkan notis pemulihan; dan
- Mengeluarkan kompaun
Walau bagaimanapun, usaha-usaha ini tidak dapat menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun MPS & Pejabat Tanah Gombak akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak tersebut. Kerajaan Negeri Selangor memohon ADUN, Ahli Majlis dan rakyat di kawasan tersebut bersama-sama bekerjasama dalam usaha ini.