Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
80) KERUGIAN AKIBAT BANJIR KILAT
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah kerugian akibat banjir kilat yang melanda di Selangor dari 2013-Jun 2015?
Banjir kilat adalah kejadian banjir yang terjadi kurang dari 6 jam. Sekiranya berlaku banjir kilat di sesuatu kawasan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memohon pandangan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah iaitu Pegawai Daerah untuk sebarang tindakan
Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuka pusat pemindahan banjir sekiranya mendapat arahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah. Mangsa yang berpindah di Pusat Pemindahan akan dibekalkan bekalan makanan dan keperluan seperti tikar, selimut, kain pelikat, kain batik dan lain-lain keperluan mangsa. Hanya mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan akan layak menerima bantuan setelah penafsiran dan siasatan dilakukan.
Sekiranya mangsa banjir kilat tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir, maka tiada sebarang bantuan disalurkan oleh Jabatan. Jabatan tidak menjalankan taksiran kerugian khusus akibat banjir kilat yang melanda Selangor. (Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor)
-
Berapakah jumlah yang diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk mangsa banjir kilat di Selangor dari 2012-Jun 2015?
Tabung Bencana Khas Negeri Selangor tidak memperuntukkan sebarang bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa banjir kilat di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 20 / 2015 telah mengarahkan Unit Pengurusan Bencana untuk membawa cadangan bantuan bagi mangsa banjir kilat untuk pertimbangan MMKN. Kertas Cadangan tersebut telah diangkat ke MMKN ke 25 bertarikh 5 Ogos 2015 untuk pertimbangan selanjutnya. Prosedur Operasi Standard (SOP) dan definisi mangsa yang layak untuk diberi bantuan yang berkaitan sedang diperhalusi bagi memastikan bantuan diberikan kepada mangsa yang rumahnya dimasuki air sahaja.(Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor)