Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

261) PROGRAM SPAH DAN KEMPEN PENJIMATAN GUNA AIR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk kerjasama antara Kerajaan Negeri, KPKT dan PBT bagi menjayakan program SPAH di seluruh Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mewajibkan semua permohonan pelan bangunan yang dikemukakan ke PBT perlu menyediakan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) melalui Pekeliling Setiausaha Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2014. Ini adalah bagi semua bangunan yang mempunyai kawasan bumbung 100m² atau lebih dan ianya selaras dengan Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 22hb. Mac 2012-Pindaan UUK10 (3). Selain itu, ia juga terkandung di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UUK 2, 10 dan 115).

    Dalam masa yang sama, semua pembangunan di Negeri Selangor juga menerima pakai garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai rujukan

  2. Apakah insentif yang akan diberikan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan pelaksanaan SPAH pada peringkat industri, kemudahan awam dan rumah persendirian?

    Sehingga kini tiada insentif khas yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi menggalakkan pelaksanaan SPAH pada peringkat industri, kemudahan awam dan rumah persendirian. Walau bagaimanapun, di peringkat PBT terdapat insentif yang ditawarkan, antaranya adalah seperti berikut:-

    PBT Insentif SPAH
    MBPJ 1.    Skim Insentif Rebat Cukai Taksiran Kepada Rumah Mesra Alam Hijau Petaling Jaya.

     

    MPSP 1.    ‘Skim Teknologi Hijau, Majlis Perbandaran Sepang’

    – Skim ini merupakan rebat cukai taksiran kepada pemilik bangunan berstatus Hijau (GBI, LEEDS dan lain-lain) di kawasan Pentadbiran MP Sepang.

  3. Berapakah nilai penjimatan air terawat sekiranya SPAH dilaksanakan ke tahap 20% daripada tahap optimumnya bagi tahun 2015?

    Setakat ini belum ada kajian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menentukan nilai penjimatan air terawat sekiranya SPAH dilaksanakan ke tahap 20% daripada tahap optimumnya bagi tahun 2015.

    Walau bagaimanapun, menurut kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Seberang Perai & Majlis Perbandaran Sandakan, Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pemasangan SPAH dapat mengurangkan penggunaan air terawat sebanyak 30% hingga 75%. Hal ini berlaku apabila sebanyak 25% dari 50 gelen air terawat yang digunakan setiap hari oleh seisi rumah untuk penyiraman tanaman, pencurahan tandas, pencucian lantai dan kereta digantikan dengan air yang dikumpulkan dari tangki SPAH. (Sumber dari Kertas Kerja Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang disediakan oleh KPKT bertarikh 26hb Jun 2012).

    Sehubungan itu, penjimatan penggunaan sumber air terawat dapat dikurangkan sekiranya pada tahun 2015 ini terdapat banyak perlaksanaan SPAH di Malaysia. Sistem ini direkabentuk berdasarkan permintaan dan keperluan air sesebuah bangunan dan keluasan kawasan tadahan (bumbung) merupakan faktor utama kepada jumlah air hujan yang boleh dikumpul untuk penggunaan tandas dan kerja-kerja pembersihan.

Lampiran

Tiada Lampiran.