Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
260) RIZAB TANAH PERKUBURAN PROJEK ALAM IMPIAN SHAH ALAM
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan keluasan rizab tanah perkuburan yang diperuntukkan bagi projek tersebut ?
Tapak seluas 29.46 ekar telah diperuntukkan sebagai rezab perkuburan melalui pelan susunatur rujukan MBSA/PRG/PSA 35-11-06 dan surat kebenaran merancang rujukan (30)dlm.MBSA/PRG/2016-97 (35) Jilid 8 bertarikh 8hb. September 2006 di alamat No.2, Jalan Tok Janggut 35/77, Seksyen 35, Shah Alam.
-
Sila nyatakan berapakah jumlah keluasan rizab perkuburan Islam dan bukan Islam ?
Keluasan tapak perkuburan seluas 29.46 ekar tidak pernah dipinda dan tetap dikekalkan sebagaimana kelulusan asal melalui pelan susunatur terkini yang diluluskan oleh Majlis rujukan MBSA/PRG/PSA 35-20-13 sebagaimana keperluan berdasarkan kepada Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor. Tidak ditunjukkan dengan jelas pembahagian mengikut kaum di dalam pelan tersebut ketika diluluskan.
Pecahan berhubung pecahan rizab Perkuburan Islam Dan Bukan Islam adalah tertakluk kepada taburan penduduk dan keputusan mohon merujuk kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN). Sila rujuk keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kali Ke 34/2014 yang diadakan pada 3hb. September 2014 yang telah disahkan oleh MMKN ke 35/2014 pada 10hb. September 2014 berhubung perizaban tapak perkuburan tersebut.
-
Sila perjelaskan pihak manakah yang dipertanggungjawabkan dalam pengendalian dan pemantauan rizab tanah perkuburan tersebut ?
Tapak perkuburan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan penyelenggaraannya diletakkan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam sebagaimana keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 35/2014 pada 10hb. September 2014.
Walau bagaimanapun lanjutan daripada keputusan Majlis Mesyuarat Dewan DiRaja Selangor yang ke 133 pada 12hb. November 2012 yang mengkehendaki kawasan perkuburan Islam dimajukan dengan lebih tersusun dan sistematik untuk menambahbaik pengurusan tanah-tanah perkuburan Islam, adalah dicadangkan supaya ianya tidak diletakkan bersebelahan dengan tanah perkuburan bukan Islam bagi mengelakkan sensitiviti kaum. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 35/2014 pada 10hb. September 2014 telah memutuskan status tapak perkuburan ini dipinda kepada perkuburan Islam dan diletakkan di bawah kawalan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan penyelenggaraannya diletakkan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam.