Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
228) BANGUNAN MILIKAN KERAJAAN SELANGOR DI BUKIT FRASER
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah kutipan sewa yang diperolehi daripada Rumah Rehat Sri Berkat pada tahun 2013 dan 2014.
Rumah Rehat Sri Berkat, Bukit Fraser adalah salah satu produk pelancongan di bawah seliaan Tourism Selangor Promosi Sdn Bhd. Ianya merupakan sebuah rumah rehat yang telah berusia lebih kurang 90 tahun dan boleh dikatakan antara bangunan bersejarah yang unik serta menyimpan pelbagai cerita yang membuatkan pelancong untuk merasai pengalaman tinggal di sini. Bercirikan seni bina Inggeris serta begitu sinonim dengan Bukit Fraser yang turut dikenali sebagai Little England.
Berikut adalah kutipan sewaan yang diperolehi daripada sewaan diperolehi daripada Rumah Rehat Sri Berkat yang mempunyai 9 buah bilik sahaja:
Tahun
2013
2014
Pendapatan
RM 51,360
RM 68,848
-
Apakah promosi yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri terhadap Rumah Rehat Sri Berkat?
Sebagai salah satu produk di bawah seliaan, Tourism Selangor akan terus memainkan peranan dalam mempromosikan Rumah Rehat Sri Berkat melalui pelbagai medium serta aplikasi bagi menjadikan produk pelancongan dapat menerima lebih ramai pengunjung samaada dalam dan luar negara melalui siri promosi yang disertai oleh Tourism Selangor. Maklumat juga boleh diperolehi melalui terbitan rasmi Tourism Selangor iaitu Selangor Breakaway dan juga penerbitan risalah promosi yang menawarkan kadar istimewa pada waktu-waktu tertentu. Turut memainkan peranan sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat berkaitan Rumah Rehat Sri Berkat ialah melalui laman sesawang Tourism Selangor iaitu www.tourismsselangor.my ataupun laman sesawang Jabatan Pembangunan Produk, Tourism Selangor sriberkat.wibley.com .
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memulihkan Bangunan The Gap Bukit Fraser yang mempunyai sejarah dan keunikan yang tersendiri?
Selain daripada Rumah Rehat Sri Berkat, terdapat sebuah lagi bangunan yang mempunyai tinggalan sejarah yang tersendiri iaitu The GAP. Walaubagaimanapun keadaan rumah ini yang telah uzur dan terbiar untuk sekian lama menyebabkannya memerlukan peruntukan yang amat besar untuk membaik pulih yang membolehkannya beroperasi semula.
Pada tahun 2008, peruntukkan bagi kerja-kerja menaiktaraf Rumah The GAP secara konservasi telah disalurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia melalui Rancangan Malaysia ke-9 bagi kerja-kerja fasa 1 yang telah pun siap pada tahun 2010. Namun selepas itu Kerajaan Negeri tidak menerima peruntukan selanjutnya daripada Kementerian Pelancongan bagi meneruskan kerja-kerja menaiktaraf yang sepatutnya dilakukan dalam fasa ke-2. Oleh yang demikian rumah tersebut telah terbiar sehingga menyebabkan kerosakan yang amat teruk terhadap bangunan tersebut.
Sehubungan dengan Tourism Selangor turut mengambil langkah dengan bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia untuk membuat kajian semula terhadap bangunan tersebut. Hasil daripada tinjauan yang telah dijalankan oleh Persatuan Arkitek Malaysia bersama Jawatankuasa The GAP telah mendapati bahawa bangunan The GAP perlu menjalani kerja-kerja pembaikan pada keseluruhan bangunan kerana mengalami kerosakan yang teruk. Walaubagaimanapun mereka juga berpendapat bahawa The GAP masih mempunyai potensi untuk dijadikan produk pelancongan yang menarik dan mampu menggamit kunjungan pelancong tetapi hanya sekiranya kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan dengan sempurna.
Sebagai langkah alternatif Tourism Selangor telah mempelawa mana-mana agensi yang berminat untuk menghantar kertas cadangan seterusnya berminat melakukan pembaikan dan menaiktaraf the GAP sehingga ianya mampu beroperasi semula. Selepas itu terdapat beberapa pihak pemaju, hotel serta agensi swasta telah melakukan lawatan serta membuat penilaian terhadap The GAP ini namun kebanyakan tidak menunjukkan maklum balas yang positif. Walaubagaimanapun terdapat satu syarikat pemaju yang berminat dan telah menghantar kertas cadangan untuk membangunkan semula dan menjalankan semula operasi The GAP namun setelah Tourism Selangor membuat tinjauan serta penyelidikan terhadap syarikat ini, telah mendapati syarikat ini tidak mempunyai keupayaan terhadap pelbagai aspek untuk menjalankan projek pembangunan semula The GAP.
Kerajaan Negeri Selangor melalui UPEN Negeri Selangor akan membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia bagi projek RMK 11 memandangkan projek ini telah tergendala dalam jangka masa yang agak lama.