Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
143) KECERIAAN KUBUR
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status keceriaan pengkuburan Islam di Negeri Selangor?
Status keceriaan pengkuburan Islam di Negeri Selangor masih di tahap sederhana dan perlu di tingkatkan lagi dari semasa ke semasa supaya penambahbaikan dapat dilakukan dan dapat mewujudkan suasana yang selesa dan tersusun untuk memberi kemudahan yang terbaik kepada waris.
Majlis Bandaraya Shah Alam merujuk Manual Garis Panduan Dan Piawaian Negeri Selangor untuk menyediakan kawasan Tanah Perkuburan. Landskap dan pokok-pokok ditanam untuk meningkatkan suasana yang menarik kepada sesuatu kawasan tanah perkuburan. Selain daripada itu, kemudahan utiliti yang secukupnya disediakan untuk memastikan kawasan tanah perkuburan dalam keadaan baik dan teratur.
Antara kerja pengindahan yang telah dilaksanakan oleh pihak MPSJ di kawasan perkuburan USJ22 adalah menanam spesis tumbuhan renek seperti Evodia di atas plot kubur bagi tujuan penyeragaman dan juga menanam rumput karpet (Zoysia spp.) di kawasan perkuburan secara berperingkat.
Tanah perkuburan Islam yang diwartakan atas nama JAIS tetapi diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Seksyen 21 Shah Alam, Seksyen 9 Kota Damansara, Perkuburan Islam USJ 22 dan tapak perkuburan Islam Kampung Delek, Klang telah diuruskan oleh PBT berkenaan mengikut konsep Raudhatus Sakinah.
Manakala keceriaan pengurusan kubur di peringkat kariah adalah bergantung kepada pengurusan masjid atau Badan Khairat Kematian Kariah. Pihak JAIS juga telah menyediakan Draf Peraturan-Peraturan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Selangor yang ketika ini telah dikemukakan kepada bahagian Undang-Undang MAIS untuk semakan dan kelulusan MAIS yang juga menekankan aspek keceriaan dalam pengurusan semua tapak perkuburan Islam di Negeri Selangor.