Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
142) PEMBANGUNAN DAN PEMULIHARAAN KAMPUNG
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri pada tahun ini untuk projek pemuliharaan dan pembangunan kampung atau desa?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan infrastruktur yang diperolehi oleh masyarakat pinggiran bandar adalah setanding dengan infrastruktur yang diperolehi oleh masyarakat di bandar. Bagi memastikan kelengkapan dan kesempurnaan infrastruktur ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah kewangan yang besar khas untuk menampung kos pembaikan dan pengwujudan infrastruktur baru di kawasan kampung.
Pada tahun 2015, jumlah peruntukan yang diberikan untuk penyelenggaraan jalan kampung adalah sebanyak RM12 juta berbanding RM4 juta pada tahun 2014, manakala bagi menaiktaraf kemudahan asas desa peruntukan yang diberikan adalah sebanyak RM4 juta. Peningkatan peruntukan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri komited dalam menaiktaraf kemudahan awam dan infrastruktur di negeri Selangor khasnya di kawasan kampung.
-
Siapakah yang bertanggungjawab dalam melaksanakan projek tersebut?
Pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan projek pemuliharaan dan pembangunan kampung ialah Pejabat Daerah dan Tanah. Peruntukan akan disalurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan memastikan kerja-kerja tersebut dibuat dengan sempurna.
-
Berapa lamakah tempoh perlaksanaan projek tersebut?
Tempoh perlaksanaan bagi sesebuah projek adalah tertakluk kepada spesifikasi kerja yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri. Secara dasarnya, sesebuah projek atau kerja akan diiktiraf sebagai siap selepas kerja tersebut disahkan siap dan sempurna oleh pihak yang memantau projek.