Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
141) PEMBANGUNAN SKUAD PELAPIS SUKAN NEGERI
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah Inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk membangunkan skuad pelapis bagi semua jenis sukan?
Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor telah mengambil beberapa inisiatif untuk membangunkan skuad pelapis bagi semua sukan yang bergabung untuk pembangunan sukan prestasi tinggi di Selangor. Inisiatif-inisiatif yang diambil adalah, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor telah menubuhkan Pusat Latihan Daerah (PLD) pada tahun ini dan ianya bawah pengawasan Majlis Sukan Daerah (MSD). Tujuan utama penubuhan pusat ini di daerah-daerah adalah untuk memperbanyakkan lagi medium-medium pembangunan sukan untuk menyediakan skuad pelapis di setiap daerah. Keberkesanan program ini akan dinilai berdasarkan kejohanan yang dianjurkan oleh pihak Majlis seperti Sukan Selangor (SUKSES). Untuk permulaan, sebanyak 27 pusat akan diwujudkan pada tahun ini bermula dengan 3 pusat setiap daerah.
Inisiatif lain adalah merancakkan lagi aktiviti sukan di peringkat daerah dengan menyediakan peruntukkan kepada Majlis Sukan Daerah (MSD). Antara program-program untuk MSD adalah seperti penyertaan ke kejohanan oleh pasukan daerah, penyertaan ke bengkel-bengkel atau seminar yang berkaitan dan juga penganjuran kejohanan di peringkat daerah. Setiap daerah telah diperuntukkan sebanyak RM50,000 setahun untuk bantuan program sukan di daerah.
Selain itu, pihak Majlis bukan sahaja bekerjasama dengan Majlis Sukan Daerah dan Persatuan Sukan Negeri, malah pihak Majlis juga bekerjasama dengan pihak Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) yang juga merupakan ‘stakeholder’ utama dalam pembangunan sukan di Selangor terutamanya pasukan pelapis yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Pihak Majlis telah memperuntukkan sejumlah RM50,000 setahun kepada JPS untuk program pembangunan sekolah sukan dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS). Peruntukkan ini termasuklah bantuan kepada Sekolah Sukan Negeri Selangor (SSN) iaitu Sekolah Kebangsaan Seksyen 11, Shah Alam.
Pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Sukan Negara melalui Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) juga telah menjalankan program sukan untuk pelapis di peringkat negeri. Program USPTN ini diwujudkan di negeri-negeri adalah untuk membantu pihak negeri untuk mengembangkan lagi medium pembangunan sukan di peringkat pelapis sekaligus membantu negeri untuk mendapatkan atlit yang berpotensi. Sebanyak 16 disiplin yang berada dalam program USPTN Selangor iaitu angkat berat, renang, terjun, tenis, taekwando, memanah, menembak, olahraga, sukan layar, berbasikal, skuasy, tinju, sepak takraw, tenpin boling, gimnastik dan gimrama.
-
Berapakah peruntukan kerajaan negeri untuk pembangunan sukan pada tahun 2015?
Pada tahun ini, peruntukkan keseluruhan yang diperuntukkan kepada Bahagian Pembangunan Sukan adalah sebanyak RM17.2 juta di mana sebanyak RM12.2 juta telah diperuntukkan untuk infrastruktur sukan manakala bakinya sebanyak RM5 juta sahaja untuk keseluruhan program pembangunan sukan prestasi tinggi. Jumlah ini adalah berkurangan sebanyak 30% berbanding peruntukkan pada tahun lepas iaitu sebanyak RM7.2 juta yang dikhaskan untuk program pembangunan sukan prestasi tinggi.
Pecahan keperluan pasukan –pasukan adalah seperti berikut:-
BIL PERKARA PECAHAN JUMLAH 1. Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi RM40,000.00 x 42 sukan RM1,680,000.00 2. Persediaan Sukma (Bantuan Latihan) RM40,000.00 x 30 sukan RM1,200,000.00 3. Program Pembangunan Sukan Daerah i. RM100,000.00 x 4 daerah
ii. RM50,000.00 x 5 daerah
RM400,000.00
RM250,000.00
RM650,000.00
4. Program Pembangunan Sekolah Sukan & MSSS RM50,000.00 5. Program Pembangunan Sains Sukan & Kejurulatihan RM100,000.00 6. Program Binaan i. Kem Kontinjen
ii. Kursus / Bengkel
RM200,000.00
RM80,000.00
RM280,000.00
7. Program Pembangunan USPTN RM30,000.00 8. Program Khas RM500,000.00 9. Pusat Latihan Daerah RM200,000.00 10. Persediaan Kontinjen i. Insuran Pegawai & Atlet
ii. Pakaian Latihan
iii. Pelancaran Program SUKMA
iv. Persediaan SUKMA Sarawak
RM60,000.00
RM50,000.00
RM100,000.00
RM100,000.00
RM310,000.00 JUMLAH KESELURUHAN RM5,000,000.00