Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
19) INDUSTRI PELANCONGAN
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah pendapatan hasil dari industri pelancongan kepada ekonomi Selangor pada tahun 2014.
Jumlah kehadiran pelancong ke negeri Selangor dilihat mengalami penurunan dari tahun 2013 ke tahun 2014 ianya sudah pasti memberikan penurunan jumlah pendapatan kepada Negeri Selangor.
Berikut adalah jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Selangor serta jumlah pendapatan yang diperolehi daripada sektor ini daripada tahun 2013 hingga 2014.
Bil. Tahun Jumlah Pelancong Jumlah Pendapatan 1. 2013 6,701,437 RM 4,700,387,911.80 2. 2014 6,072,837 RM 4,259,487,871.80 Jadual di atas menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 9.4% daripada jumlah pendapatan dari tahun 2013 hingga ke tahun 2014.
Oleh itu, jika dilihat daripada statistik di atas, ianya jelas menunjukkan bahawa kehadiran pelancong dan juga jumlah pendapatan Negeri Selangor hasil dari industri pelancongan mengalami perbezaan dengan mengalami penurunan daripada tahun 2013 hingga tahun 2014 iaitu penurunan sebanyak 440,900,040.00.
Prestasi yang kurang memberangsangkan bagi tahun 2013 dan 2014 ini sekaligus disebabkan beberapa faktor dan sebab penurunan. Hal ini dapat dilihat dari segi tragedi pesawat yang melibatkan syarikat penerbangan Malaysia seperti insiden MH370, MH17 dan AirAsia QZ8501. Insiden ini meninggalkan impak yang besar dalam jumlah pelancong yang datang daripada Negara China kerana pelancong daripada Negara China adalah penyumbang tertinggi kepada statistik kehadiran pelancong ke Negeri Selangor. Penularan pelbagai penyakit berjangkit seperti wabak selsema burung dan wabak selsema Akut daripada Timur Tengah, juga telah mengakibatkan kekurangan kehadiran pelancong. Kemelesetan ekonomi pada penghujung tahun 2014, yang disebabkan oleh penurunan harga minyak dunia juga memberi kesan negatif kepada kehadiran pelancongan.
Walaubagaimanapun, dengan promosi yang lebih efektif dan meluas yang dijalankan oleh Tourism Selangor dan penganjuran Tahun Melawat Selangor 2015, boleh memberikan impak yang lebih baik seterusnya meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Selangor pada Tahun 2015.
-
Apakah usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan hasil pendapatan ini?
Antara usaha-usaha Kerajaan Negeri bagi mempertingkatkan hasil pendapatan industri pelancongan adalah melalui siri-siri promosi dalam dan luar negara yang dianjurkan oleh beberapa pihak terutamanya oleh Tourism Malaysia. Melalui program ini, kerajaan negeri melalui Tourism Selangor dan pemaju-pemaju industri pelancongan yang sama-sama menyertai program ini telah menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan keunikan aspek-aspek pelancongan yang ada di negeri Selangor di antaranya ialah pelancongan eco, pelancongan sukan dan pelancongan warisan sepertimana yang kita fokus sempena ‘Tahun Melawat Selangor 2015’. Dengan ini, kita dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Selangor dan mereka dapat mengalami sendiri pengalaman unik dengan menikmati keindahan yang terdapat di Selangor.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan prasarana yang mencukupi, selesa, jimat dan mudah. Hal ini kerana, kemudahan ini memudahkan dan memberikan keselesaan kepada pelancong tidak kira pelancong dari luar atau di dalam negara.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilihat menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen.