Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
262) PENDIDIKAN HAK ASASI MANUSIA MELALUI FREEDOM FILM FESTIVAL (FFF2015)
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan kerajaan dalam pendidikan hak asasi manusia rakyat Selangor yang dilaksanakan melalui platform FFF2015?
Kerajaan Negeri Selangor tiada perancangan khusus setakat ini dalam pendidikan hak asasi manusia rakyat Selangor. Pelaksanaan FreedomFilm Festival (FFF) bagaimanapun merupakan salah satu inisiatif pendidikan hak asasi manusia oleh Kerajaan Negeri dalam konteks “Membudayakan Masyarakat Prihatin” dengan kerjasama pihak NGO seperti Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat KOMAS) atau lebih dikenali sebagai KOMASmelalui penganjuran pertandingan filem-filem pendek berkaitan hak asasi manusia di dalam FFF.
-
Sudahkah kerajaan memanfaatkan filem-filem dokumentari yang telah dihasilkan oleh FFF2008Ð2014?
Kerajaan Negeri masih mengkaji dan menilai untuk diperhalusi supaya filem- filem dokumentari yang dihasilkan mempunyai nilai positif dan bersesuaian serta dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Kerajaan Negeri melihat filem- filem yang dihasilkan sepanjang kerjasama ini adalah satu hasil kerja yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat negeri dalam konteks yang disebutkan tadi iaitu “Membudayakan Masyarakat Prihatin” supaya kesedaran demokrasi yang sihat dapat dipertingkatkan di dalam masyarakat melalui tayangan-tayangan umum yang berskala kecil atau sederhana serta sesi diskusi yang melibatkan pimpinan serta wakil-wakil masyarakat di dalam sesebuah komuniti. Kesedaran demokrasi yang sihat perlu diwujudkan di kalangan rakyat Negeri Selangor yang mempunyai tiga komposisi kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India supaya rakyat negeri ini dapat hidup dengan penuh harmoni dan sejahtera serta menjadi contoh kepada negeri- negeri lain.
-
Berapakah peruntukan yang diperlukan bagi membangunkan sukatan pendidikan hak asasi manusia melalui FFF2005?
Kerajaan Negeri masih belum mengetahui jumlah peruntukan yang diperlukan bagi membangunkan sukatan pendidikan hak asasi manusia kerana tiada perancangan khusus dalam pendidikan hak asasi manusia setakat ini. Peruntukan yang disalurkan sebelum ini hanyalah berupa sumbangan atau tanda sokongan kepada pihak berkenaan dalam melaksanakan aktiviti dan program yang berkaitan. Untuk makluman Tuan Speaker, Pihak kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan telah mula bekerja sama dengan pihak KOMAS yang juga merupakan penganjur FreedomFilm Festival (FFF) bermula tahun 2010 sehingga tahun 2012 dengan sumbangan seperti berikut:
Tahun
Peruntukan (RM)
Tujuan
2010
3,215.00
Membiayai pembekalan banner dan bunting bagi Program Pelancaran FreedomFilm Festival (FFF2010)
2011
9,317.00
Membiayai sewaan auditorium Wisma Bently (RM6,800.00) dan cetakan publisiti (RM2,517.00)
2012
20,000.00
Tajaan Program
Pada tahun 2013 dan tahun 2014 pula, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan tidak memberikan sebarang sumbangan kepada KOMAS, namun Kerajaan Negeri masih menyokong dalam penganjuran FFF ini.
Selain daripada penganjuran FFF, Kerajaan Negeri turut memberi peluang kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk menerima manfaat bagi pembangunan pendidikan hak asasi manusia di Negeri ini. Pada penganjuran FFF2015 yang akan berlangsung pada tahun ini, Kerajaan Negeri masih meneliti keperluan dan peruntukan sumbangan bergantung kepada permohonan daripada pihak KOMAS.