Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

241) INSTITUT LATIHAN JATIDIRI (ILJAS) DI SUNGAI TEGAR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status projek ini?

    Pada masa kini, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan tindakanpenyelarasan ke atas pusat-pusat latihan di bawah Kerajaan Negeri untuk ditambahbaik dan diuruskan dengan berkesan supaya premis berkenaan boleh digunakan bagi tujuan latihan oleh Kerajaan Negeri.

    Bagi Institut Latihan Jatidiri (ILJAS) di Sungai Tengar, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR Selangor) sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan kerosakan serta tahap keselamatan ke atas struktur bangunan premis berkenaan. Manakala tindakan penyelenggaraan dan baikpulih premis berkenaan akan dilaksanakan supaya ia dapat digunakan semula bagi tujuan latihan.

    Perincian status terkini pemeriksaan oleh JKR Selangor adalah seperti berikut:

    Bil. Butiran Pemeriksaan Tarikh
    1. Pelantikan Pasukan Audit Pemeriksaan 4 Mac 2015
    2. Pelaksanaan Pemeriksaan 17 Mac 2015
    3. Penyediaan Laporan Pemeriksaan Oleh Pasukan Audit 17 hingga 30 Mac 2015
    4. Pembentangan Hasil Pemeriksaan 31 Mac 2015

     

  2. Berapakah kos yang telah dibelanjakan?

    Pada masa kini, Kerajaan Negeri masih menantikan hasil laporan pemeriksaan yang sedang dilaksanakan oleh JKR Selangor ke atas struktur bangunan Institut Latihan Jatidiri (ILJAS). Sehubungan itu, setakat ini tiada sebarang perincian kos yang dapat dimaklumkan sehinggalah pemeriksaan tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya, manakala kos baikpulih dan penyelenggaraan bagi maksud tersebut hanya akan ditentukan berdasarkan hasil laporan pemeriksaan berkenaan kelak.

    Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanggungan kos ke atas premis berkenaan yang melibatkan perkara-perkara seperti berikut:

    • bayaran emolumen kakitangan yang dilantik secara kontrak;
    • perkhidmatan kawalan keselamatan; dan
    • bayaran bil utiliti (air dan elektrik).
  3. Pihak manakah yang menguruskan penyelenggaraan dan segalanya termasuk pembayaran gaji dan bil-bil berkaitan?

    Institut Latihan Jatidiri (ILJAS) merupakan premis di bawah hakmilik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Sehubungan itu, segala urusan tanggungan perbelanjaan dan pembayaran ke atas premis berkenaan adalah terletak di bawah tanggungjawab Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.