Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

155) HUTAN SIMPAN DI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah keluasan terkini hutan simpan di Selangor?

    Pada masa kini terdapat 70 buah Hutan Simpanan Kekal telah diwartakan di seluruh Negeri Selangor dengan jumlah keluasan lebih kurang 250,129 ha atau pun 31.54% daripada keluasan Negeri Selangor.

  2. Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan hutan simpan ini terpelihara?

    Kerajaan Negeri Selangor amat komited untuk memelihara dan mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sedia ada. Usaha ini akan dapat direalisasikan melalui “Moratorium 25 Tahun Pembalakan” di mana tiada aktiviti pengusahasilan hutan di dalam HSK di Negeri Selangor selama 25 tahun bermula daripada tahun 2010

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan juga telah meluluskan beberapa dokumen perancangan pengurusan hutan mengikut jenis dan pengelasan hutan. Di antaranya rancangan pengurusan tersebut adalah seperti berikut :

    • Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2011 – 2020;
    • Integrated Management for North Selangor Peat Swamp Forest 2014 – 2023;
    • Rancangan Kerja Hutan Paya Laut 2009 – 2019;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Taman Warisan Negeri Selangor 2011 – 2020;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Tadahan Air Negeri Selangor 2013 – 2022;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Simpan Kota Damansara;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (HCVF) di Negeri Selangor;
    • Pelan Tindakan Perancangan Strategik 2012 – 2015; dan
    • Rancangan Tahunan

    Kesemua dokumen dan maklumat perancangan pengurusan hutan adalah amat penting dan berguna sebagai garis panduan di dalam melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan khususnya di Negeri Selangor.

    Selain itu, JPNS juga merupakan Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung Malaysia yang pertama dapat mengekalkan Zero CARs (Corrective Action Requests) bagi tahun ketiga (3) berturut-turut (2012 – 2014) di dalam Audit Pensijilan Malaysia Criteria and Indicators (MC&I) (Hutan Asli) iaitu satu standard pematuhan pencapaian Pengurusan Hutan Secara Berkekalan. Manakala bagi Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008, JPNS juga telah mencapai Zero CARs bagi tiga (3) tahun berturut-turut (2012 – 2014) dan ini menjadi pemangkin bagi seluruh warga JPNS untuk mengulangi kejayaan yang sama bagi tahun-tahun berikutnya.

    Di samping itu, kawalan dan penguatkuasaan hutan turut dijalankan secara berterusan oleh JPNS bagi memastikan HSK atau Taman Warisan Negeri di Negeri Selangor ini tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan negeri melalui JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang didapati telah melakukan kesalahan seperti menceroboh kawasan HSK atau Taman Negeri Selangor yang mana pihak berkenaan akan dihukum sewajarnya mengikut mana-mana seksyen yang berkaitan seperti yang diperuntukan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor.

    • Rondaan Berkala

    Jabatan Perhutanan menjalankan rondaan secara berkala di sepanjang sempadan di luar Hutan Simpanan Kekal. Tumpuan diberikan terhadap kawasan-kawasan yang berhampiran dengan penempatan.

    • Pemantauan Udara

    Jabatan juga menjalankan pemantauan udara untuk mengenalpasti secara menyeluruh kawasan-kawasan yang berkemungkinan berlaku pencerobohan hutan (hot spots).

    • Pemantauan melalui imej satelit

    Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) telah membangunkan sistem yang dikenali sebagai ‘Forest Monitoring Using Remote Sensing’ (FMRS). Dalam sistem ini, pemantauan kawasan ‘hot-spots’ dan sebarang kes dikesan melalui perubahan imej satelit. Kawasan ini dibuat di peringkat Unit Penguatkuasaan dan Pegawai- pegawai Hutan Daerah.

    • Program Kesedaran

    Jabatan Perhutanan juga melaksanakan sesi penerangan dengan memberi input mengenai elemen-elemen kesalahan hutan dari masa ke semasa mengikut program yang telah ditetapkan. Penglibatan secara aktif diperolehi daripada masyarakat di sekitar Hutan Simpanan Kekal. Penubuhan Persatuan Pertubuhan Sahabat Hutan Paya Gambut Selangor Utara (SHGHU) adalah merupakan salah satu manefestasi kepada kejayaan program ini.

    Selain langkah-langkah yang dijelaskan sebelum ini, Jabatan juga telah mengambil inisiatif berikut dalam usaha untuk menangani kejadian pencerobohan hutan.

    Membina Penghadang/ ‘boom-gate’ pada jalan masuk ke kawasan-kawasan yang sensitif dan terdedah kepada pencerobohan. Ianya dipantau dari semasa ke semasa.

    Jabatan juga mengambil tindakan penguatkuasaan dengan memusnahkan tanaman-tanaman serta menjalankan program tanaman semula dengan menanam spesies-spesies pokok hutan dengan menggunakan peruntukan tahun semasa. Bagi kawasan-kawasan yang baru dikesan, Jabatan mengeluarkan notis terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

Lampiran

Tiada Lampiran.