Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

31) SKIM SEWA BELI RUMAH KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan projek perumahan dan jumlah unit yang ditawarkan dalam skim sewa beli Kerajaan Negeri Selangor

    Untuk makluman Yang Berhormat, Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (DANA-SEL) Konsep Sewa dan Milik akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan ianya akan dilaksanakan bagi projek perintis RKR Rimba Jaya berjumlah 104 unit dan RKR Sungai Sering berjumlah 116 unit.

  2. Apakah syarat-syarat mereka yang ingin memohon?

    Syarat-syarat kelayakan permohonan bagi skim ini adalah seperti berikut:

    • Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas;
    • Pemohon hendaklah terdiri daripada senarai Peneroka Bandar yang berdaftar dengan LPHS. Senarai nama ini hendaklah disaring dan disahkan oleh pihak LPHS;
    • Tidak layak membuat pinjaman bank. Pemohon mempunyai pendapatan tidak tetap, tidak mempunyai penyata pendapatan, direkodkan dalam CCRIS dan CTOS dan lain-lain;
    • Pendapatan kasar seisi rumah minima RM1,000.00 sebulan;
    • Pembelian hendaklah rumah pertama bagi kategori kediaman kos rendah untuk didiami; dan
    • Berkeupayaan membayar sewa iaitu pembayaran bulanan tidak melebihi 40% dan pembayaran bulanan kesemua pinjamantidak melebihi 65% daripada pendapatan kasar.
  3. Agensi manakah yang bertanggungjawab untuk memantau dan meluluskan skim sewa beli perumahan?

    Agensi yang bertanggungjawab untuk memantau dan meluluskan Skim DANA-SEL ini adalah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Lampiran

Tiada Lampiran.