Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

20) RIZAB KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan rizab kerajaan negeri?

    Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan adalah dipegang oleh wang tunai dan pelaburan.

    Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2014 adalah meningkat sebanyak 10.11% iaitu daripada RM2,907.10 juta pada tahun 2013 kepada RM3,200.91 juta pada tahun 2014. Peningkatan ini disumbangkan oleh lebihan terimaan amanah pada tahun 2014 berjumlah RM181.87 juta dan lebihan Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM111.94 juta. Kutipan hasil Kerajaan Negeri mencatatkan jumlah yang tertinggi pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM2,225.08 juta. Sumber peningkatan ketara yang menjadi hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2014 adalah terimaan Hasil Bukan Cukai sebanyak RM1,437.26 juta berbanding anggaran sebanyak RM1,066.59 juta.

    Pengukuhan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor adalah disumbangkan oleh usaha-usaha yang berterusan bagi meningkatkan kutipan hasil Kerajaan Negeri Selangor di samping pengurusan perbelanjaan wang awam yang menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah yang terbaik (value for money).

  2. Bagaimanakah kerajaan negeri mengawal penggunaan rizab bagi memastikan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan adalah bernilai?

    Perbelanjaan yang dikenakan ke atas Kumpulan Wang Disatukan / Rizab Negeri adalah mengikut undang-undang atau kelulusan Dewan Negeri Selangor selaras dengan Perkara 104 Perlembagaan Persekutuan. Rizab kewangan negeri terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Oleh yang demikian, tidak kesemua rizab Kerajaan Negeri boleh dibelanjakan memandangkan ia adalah juga sebahagian daripada Akaun Amanah Disatukan yang akan digunakan mengikut kehendak undang-undang, akta-akta amanah dan arahan amanah.

    Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan adalah bernilai telah melaksanakan perkara-perkara berikut:-

    Perbendaharaan Negeri Selangor memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemat dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna telah mengeluarkan:-

    • Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 7 Tahun 2013 : Garis Panduan Perbelanjaan Berhemat yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 bertujuan untuk memaklumkan garis panduan perbelanjaan berhemat bagi mengawal perbelanjaan Kerajaan Negeri;
    • Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 4 Tahun 2014 : Pemakaian Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 2 Tahun 2014 – Garis Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam yang berkuat kuasa pada 1 April 2014 bertujuan memaklumkan berkenaan langkah penjimatan dalam perbelanjaan sektor awam;
    • Surat Arahan Perbendaharaan – Langkah Penjimatan Dalam Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 April 2014 bagi memaklumkan mengenai perubahan had nilai dan syarat-syarat pembelian terus bagi bekalan/perkhidmatan dan had nilai kerja requisition selaras dengan langkah penjimatan Kerajaan; dan
    • Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bil 7 Tahun 2014 – Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-Off yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2015 bagi memaklumkan mengenai pindaan dasar perolehan Kerajaan Negeri Selangor daripada sistem harga terendah setelah melepasi penilaian teknikal kepada Sistem Cut-Off iaitu satu tanda aras harga sebut harga dan tender yang diperolehi melalui formula statistik bagi mendapatkan harga yang munasabah.

    Mekanisma pemantauan dan penguatkuasaan ke atas penggunaan Kumpulan Wang Disatukan / Rizab Negeri iaitu:-

    • Kawalan Dewan Negeri Selangor contohnya pewujudan Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Awam;
    • Kawalan Perbendaharaan – penguatkuasaan Akta Tatacara Kewangan, Pekeliling Perbendaharaan dan Sistem Perakaunan Berkomputer dengan Kawalan dan Sekuriti bagi kelulusan sesuatu perbelanjaan dan perolehan; dan
    • Kawalan Jabatan – contohnya tanggungjawab Pegawai Pengawal dari segi pengurusan kewangan

Lampiran

Tiada Lampiran.