Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
16) PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah program tersebut berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di Selangor ?
Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-
Teras 1: Program yang berupaya menjana dan meningkatkan pendapatan:-
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
- Program Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS
Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
- Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
- Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa – jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel), Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan pelbagai lagi.
Melalui pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ini, ianya dilihat berupaya menghasilkan impak positif terhadap pendapatan golongan sasaran serta seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor. Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2012 (seperti di JADUAL 5), negeri Selangor mencatatkan peratusan kadar kemiskinan sebanyak 0.4% manakala 0.0% bagi kemiskinan tegar. Ini menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di negeri Selangor adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.
-
Berapakah jumlah penduduk Selangor yang masih dikategorikan miskin pada tahun 2013 dan 2014 ?
Kerajaan Negeri tidak mempunyai data dan statistik keseluruhan jumlah penduduk miskin bagi tahun 2013 dan 2014. Ini kerana tiada kajian khusus yang dibuat bagi menghitung jumlah pendapatan penduduk. Namun begitu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik terus Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM438,600.00. Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk:-
- Mengenalpasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor;
- Menganalisis Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan; dan
- Mewujudkan dan membangunkan Sistem Maklumat yang dinamakan Informasi Kesejahteraan Rakyat Majmuk Selangor (IKRAMS) yang mengandungi data lengkap danholistik isi rumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK yang akan
Kajian ini dibahagikan kepada dua kawasan iaitu di kawasan bandar (urban) dan di luar bandar (rural). UNISEL akan memberi tumpuan kepada enam (6) daerah yang diklasifikasikan sebagai luar bandar manakala UTAR akan memberi penekanan kepada kajian di tiga (3) daerah yang diklasifikasikan sebagai kawasan bandar. Secara ringkasnya, kajian ini menggunakan rekabentuk Mixed-Methods, Sequential Explanatory Strategy dan Sequential Exploratory Design melalui empat (4) kaedah pengumpulan data secara kuantitatif dan kualitatif seperti berikut:-
- Kaedah Temubual (Interview);
- Kaedah Soal-selidik (Questionnaire);
- Kaedah Pemerhatian Ikut-serta (Participant-Observation); dan
- Kajian Kes (Case Study).
Bagi kaedah pengumpulan data secara soal selidik, pemilihan sampel pula dibuat secara Disproportionate Stratified Sampling, Stratified Random Sampling dan Random/ Probability Sampling. Kajian ini akan membuat bancian pendapatan dan kos sara hidup serta memberi jawapan holistik dan inklusif dalam tempoh maksima dua belas (12) bulan, Mac 2015 hingga Februari 2016 mengenai bancian pendapatan dan kos sara hidup di kalangan isi rumah Selangor.
Di samping itu, satu Sistem Informasi Kesejahteraan Rakyat Majmuk Selangor (IKRAMS) juga akan dibangunkan melalui kajian ini yang mana merupakan satu pangkalan data yang lengkap dan holistik isi rumah Negeri Selangor secara tidak langsung akan berperanan sebagai pusat rujukan/ maklumat utama kepada semua Jabatan/ Agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor mengenai kadar kemiskinan di Negeri Selangor. Indeks PGK Negeri Selangor juga akan dibangunkan hasil daripada pembangunan Model Pengiraan PGK dan analisis perbandingan Model Pengiraan PGK.
Pasukan penyelidik adalah terdiri daripada gabungan sebelas (11) orang pengkaji dari UNISEL dan UTAR yang terdiri dari mereka yang mempunyai latar belakang kajian dan kepakaran yang pelbagai. Pihak perunding yang dilantik iaitu UNISEL dan UTAR perlu menyediakan dan mengemukakan laporan-laporan berkala termasuk laporan awal/ pilot projek, laporan interim/ kemajuan, deraf laporan akhir dan laporan akhir/ penuh berkenaan keputusan kajian kepada Seksyen Sektoral, UPEN.
Kajian ini didapati sangat relevan bagi menjadi sumber rujukan utama yang penting dalam membolehkan serta memudahkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti, merangka serta menentukanhala tuju, strategi, dasar baru dan bajet yang lebih komprehensif bagi membasmi kemiskinan secara total dan efektif. Ianya juga berupaya memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.Selain itu, kajian ini dilihat membolehkan golongan sasaran terus mendapat manfaat serta memastikan peluang ekonomi secara saksama tanpa mengira etnik dan latar belakang ke arah membentuk masyarakat yang lebih makmur dan berdaya maju.
JADUAL 5
INSIDEN KEMISKINAN MENGIKUT NEGERI DAN STRATA DI MALAYSIA TAHUN 2012