Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

246) PEMASANGAN TNB PYLON DI KAWASAN DUN TERATAI

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kemudahan awam yang dibekalkan atau ditaja oleh TNB hasil daripada Projek Pemasangan TNB Pylon di DUN Teratai?

    Keperluan tenaga elektrik di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memerlukan kadar dua pertiga daripada bekalan yang dijana oleh pihak TNB. Bekalan ini penting untuk kegunaan domestik dan keperluan industri. Kewujudan bekalan yang konsisten adalah sangat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri. Projek Pemasangan TNB Pylon di DUN Teratai merupakan sebahagian daripada Projek Penghantaran Elektrik TNB dari Taman Cheras Hartamas ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Mahkota Cheras dengan kapasiti 275kV. Projek dilaksanakan bertujuan untuk memastikan aliran elektrik berkekalan pada tahap yang baik memandangkan penggunaan dalam kawasan Lembah Klang adalah pada kadar 7,000 megawat (Mw) yang mana ia mewakili dua pertiga daripada keseluruhan penggunaan di

     

    Sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja memenuhi keperluan pemilik projek, bahkan kepada masyarakat sekeliling. Untuk itu, Kerajaan Negeri telah meminta supaya pihak TNB membina pagar keselamatan di kawasan Taman Cheras Hartamas dan Pangsapuri Taman Bukit Hartamas selaras dengan beberapa siri perbincangan yang telah diadakan. Pembinaan pagar keselamatan jenis “hot- dipped galvanised steel ‘Anti-Climb’ fencing with barbed wire” di kawasan Pangsapuri Taman Bukit Hartamas telah siap sepenuhnya pada 5 September 2016, manakala kerja-kerja pembinaan pagar keselamatan di kawasan Taman Cheras Hartamas telah 75% siap dan dijangka akan siap sepenuhnya pada awal bulan November 2016.

     

    Kos yang berkaitan bagi pembinaan pagar keselamatan tersebut adalah dianggarkan berjumlah RM350,000.00 dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak TNB.

  2. Berapakah pembayaran yang dibayar oleh TNB kepada Kerajaan Selangor atau agensi-agensi Kerajaan dengan projek pemasangan TNB Pylon PMU Bandar Mahkota Cheras?

    Pihak Kerajaan Negeri telah mengarahkan supaya TNB membayar gantirugi hutan simpan berjumlah RM13,029,667.20 pada 31 Disember 2014 kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang telah diselesaikan pada 8 Januari 2015. Bayaran gantirugi tersebut adalah berdasarkan taksiran nilaian semasa dirian pokok berpasaran dengan kadar tiga (3) pusingan tebangan di atas kehilangan manfaat dan fungsi hutan yang berkeluasan lebih kurang 45 hektar.

Lampiran

Tiada Lampiran.