Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
219) JALAN RAYA BERKUALITI
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Selangor memastikan jalan-jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk pengguna jalan raya?
Antara agenda/program yang dilaksanakan bagi memastikan jalan-jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk pengguna jalan raya adalah seperti berikut:-
- Melaksanakan Program Kajian Pavemen. Ini adalah satu kaedah saintifik di mana kekuatan, ketahanan dan kerosakan jalan dinilai secara sistematik. Kerja-kerja penyelenggaraan jalan akan dibuat berdasarkan senarai keutamaan melalui Program Kajian Pavemen tersebut.
- Melaksanakan kerja selenggaraan jalan negeri secara Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri serta melaksanakan pembaikan jalan melalui Kontrak Berpusat dan sebut harga secara jabatan.
- JKR Negeri Selangor telah menerbitkan Garis Panduan Amalan Baik Dalam Kerja Turapan dan Senggara Jalan dan telah diedarkan kepada semua pegawai JKR di Negeri Selangor sebagai rujukan semasa kerja-kerja pengawasan di tapak.
- Spesifikasi pembinaan dan membaiki jalan raya sentiasa ditingkatkan. Ibu Pejabat JKR Malaysia sentiasa mengemaskini spesifikasi pembinaan dan senggaraan jalan dilaksanakan oleh kumpulan pakar di Ibu Pejabat JKR Malaysia.
- Melaksanakan Program Pencerapan Data-Data Jalan-Jalan Kampung bertujuan mendaftar data jalan kampung ke sistem Marris Online dan membolehkan peruntukan dipohon bagi menyelenggara jalan-jalan tersebut.
-
Berapakah jumlah peruntukan untuk baikpulih jalan raya dan jumlah yang telah digunakan?
Jumlah peruntukan bagi kerja membaik pulih jalan serta jumlah yang telah digunakan adalah seperti berikut:
TAHUN 2016 Jumlah Peruntukan MARRIS (RM)
199,429,408.05 Jumlah Perbelanjaan Sehingga 30 Jun 2016 (RM)
31,898,768.70 -
Apakah tindakan ke atas syarikat utiliti yang telah merosakkan jalan raya? Berapa lama tempoh yang dibenarkan kerja-kerja utiliti dijalankan?
Syarikat utiliti yang telah merosakkan jalan raya akan dikenakan tindakan seperti berikut:
JKR mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Agensi utiliti supaya membaiki kerosakan mengikut tempoh Piagam Pelanggan JKR. Sekiranya tidak diambil tindakan mengikut piagam pelanggan, JKR akan mengambil tindakan membaiki kerosakan tersebut dan akan menuntut bayaran daripada wang cagaran permit kerja.
Purata tempoh yang dibenarkan untuk kerja-kerja utiliti dijalankan adalah antara 1 bulan hingga 3 bulan.