Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
202) SELANGOR MENUJU NEGERI BERPENDAPATAN TINGGI
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah persiapan Selangor dalam berdepan dengan pembangunan ke arah sebuah negeri berpendapatan tinggi?
Bank Dunia memberi definisi negara berpendapatan tinggi apabila mempunyai pendapatan perkapita lebih daripada USD11,905. Ciri-ciri negara berpendapatan tinggi seperti definisi Bank Dunia ialah seperti berikut :
- Aktiviti ekonomi berintensif inovasi dan pengetahuan;
- Ekonomi diterajui oleh sektor swasta berteraskan persaingan;
- Kerajaan sebagai pemudah cara pertumbuhan ekonomi;
- Keseimbangan yang lebih baik antara permintaan dalam negeri dengan permintaan luar; dan
- Integrasi global dan serantau yang lebih mendalam.
Namun demikian, Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa pembangunan ke arah sebuah negeri berpendapatan tinggi adalah perlu tetapi dengan mengutamakan distribution justice.
Sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia, Selangor dilihat menerima kesan secara langsung daripada model ekonomi baru yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan di bawah program Economic Transformation Programme (ETP). Pada masa kini, Selangor bergerak pantas ke arah ekonomi perkhidmatan. Sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK juga meningkat iaitu dari 53.8% tahun 2005 kepada 59.5% tahun 2014. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa mencari konsep pembangunan yang bersesuaian dan selari dengan model ekonomi tersebut untuk melonjakkan ekonomi negeri berorientasikan kebajikan rakyat. Y.A.B. Menteri Besar semasa pembentangan Bajet 2016 telah memperkenalkan konsep “Membangun Smart Selangor Yang Peduli” dengan strategi-strategi seperti berikut :
Menerajui Gagasan Smart Selangor;
Mentransformasikan Kerajaan Negeri Selangor dengan memacu teknologi ICT ke dalam pengurusan dan pembangunan bagi memudahkan dan mempercepatkan semua operasi pentadbiran.
Menjana Sumber Pendapatan Secara Strategik;
Kerajaan memfokuskan terhadap peningkatan pelaburan di Negeri Selangor dengan keutamaan mengembangkan industri berteknologi tinggi, industri halal dan mempunyai nilai tambah seperti Bio Bay Selangor yang memfokuskan bidang industri perubatan dan sains berteknologi tinggi.
Selain itu, Kerajaan akan mengupayakan potensi bandar-bandar lama seperti Bandar Klang supaya dapat terus mampan dan berdaya maju bagi menyumbangkan peluang pekerjaan dan persekitaran hidup berkualiti kepada rakyat serta menjana pendapatan kepada Kerajaan Negeri.
Mempertingkat Pembangunan Berkualiti dan Inisiatif Peduli;
Memperkasa perkhidmatan berkualiti dan inisiatif kepada rakyat meliputi pembangunan infrastruktur seperti industri air, perumahan, pengangkutan awam (Bas Smart Selangor), teknologi hijau, pembangunan luar bandar, inisiatif usahawan dan bantuan kepada golongan kurang upaya.
Memperkukuh Kualiti Pendidikan dan Latihan;
Mempersiapkan Negeri Selangor dengan sumber tenaga mahir dan generasi yang smart untuk kemampanan pembangunan dan kecemerlangan melalui program peningkatan kemahiran tinggi dengan usahasama institusi pengajian tinggi di Selangor iaitu UNISEL dan INPENS.
Membangun Kapasiti Wanita, Generasi Y dan Ekonomi Kreatif; dan
Penyediaan inisiatif kepada program-program untuk wanita dan Generasi Y. Strategi ini turut menggariskan strategi untuk membangunkan industri kreatif iaitu pembangunan Muzium Setem dan Muzium Tekstil, pembangunan galeri seni dan sejarah dan mewujudkan Open Studio sebagai ruang untuk pengkarya muda yang meliputi seni catan, seni cetak dan seni arca.
Penubuhan 4 majlis peringkat Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri telah menubuhkan 4 buah majlis di peringkat negeri iaitu:-
- Majlis Informasi Teknologi dan E-Dagang Selangor (Selangor Information Technology and E-Commerce Council) SITEC;
- Majlis Bio Selangor (Selangor Bio Council);
- Majlis Aero Angkasa Selangor (Selangor Aero Space Council); dan
- Majlis Halal Antarabangsa Selangor (Halal International Selangor);
Tiga daripada empat majlis adalah berkaitan secara langsung dengan bidang teknologi moden. Tujuan penubuhan majlis berkenaan adalah untuk mengimbangi tenaga dan sumber pihak berkepentingan (stakeholder) untuk membangunkan bidang berteknologi tinggi dengan dasar yang mantap dan strategi yang teratur dan berkesan.
-
Apakah perancangan Selangor dalam memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri berteknologi tinggi masa akan datang?
Kerajaan sedar keperluan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan industri berteknologi tinggi ekoran kepesatan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor. Sehubungan itu, strategi memperkukuh pendidikan dan latihan telah dimasukkan dalam strategi pembangunan Negeri Selangor supaya sumber tenaga mahir sentiasa mampan dan bertepatan dengan keperluan Negeri Selangor. Pelan tindakan yang sedang dilaksanakan adalah :
Meningkatkan Keupayaan Rakyat Selangor Kepada Pekerja Berkemahiran Tinggi (skilled worker) melalui Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
Fokus Kerajaan untuk terus memperkasa industri pembuatan supaya dapat mencipta lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan kelayakan berasaskan TVET. Kemahiran-kemahiran yang diperlukan adalah seperti industri minyak & gas, semikonduktor, elektrik & elektronik dan pembangunan bidang teknologi maklumat & komunikasi (ICT), advance robotic, big data dan perkakasan.
Selaras dengan itu, Kerajaan akan terus mempertingkatkan tenaga mahir dalam bidang TVET di Negeri Selangor untuk mengisi peluang-peluang di sektor ini melalui program latihan di bawah Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) iaitu Program pembangunan bakat YES (Youth Enhancement Strategy dan i-HIT (Internship High Impact Talent). Program ini merupakan kolaborasi Kerajaan UNISEL dan pemain industri secara pemadanan penawaran dengan permintaan industri bagi memastikan bidang yang ditawarkan adalah bertepatan dengan kehendak pasaran.