Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
97) PROJEK LEBUHRAYA PANTAI BARAT (WCE)
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini laluan yang akan digunakan WCE?
Secara umumnya, sebahagian besar jajaran lebuhraya ini telah pun dimuktamad dan diluluskan kecuali di sebahagian kecil di kawasan Assam Jawa – Tanjung Karang (Pakej 7) yang mana pada masa ini pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang dalam proses melaksanakan kajian impak sosial dan akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan pembinaan WCE tidak akan menjejaskan keseimbangan ekosistem sedia ada?
Dalam memelihara kepentingan ekosistem sedia ada, Kerajaan Negeri amat memberi penekanan kepada penyediaan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi mengenalpasti, meramal dan menghuraikan akan kebaikan dan keburukan sesuatu cadangan projek pembangunan. Oleh yang demikian, sebelum jajaran ini diluluskan, ianya telah dikaji dengan terperinci terlebih dahulu melalui kajian EIA oleh perunding alam sekitar dan dinilai oleh panel-panel pengulas yang dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Laporan ini merangkumi kesan terhadap flora, fauna, hakisan, kualiti air, udara, bunyi, getaran, hidrologi, geologi, ekonomi, sosial dan lain-lain perkara yang boleh memberi kesan semasa pembinaan dan pengoperasian lebuhraya kelak. Ianya juga perlu dibuat untuk memastikan sebarang perancangan rekabentuk, kerja-kerja pembinaan dan operasi lebuhraya adalah berpandukan kepada piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Selain daripada itu, pihak pemaju juga turut menyediakan Environmental Management Plan (EMP) yang telah diluluskan oleh JAS bagi memastikan hasil penelitian yang dikaji di dalam EIA dipantau secara berterusan di sepanjang waktu pembinaan lebuhraya berkenaan.