Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
87) MENUKAR STATUS TANAH DI KAWASAN HUTAN SIMPAN
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah pendirian kerajaan terhadap nasib dan hak 50 orang penduduk Kg Kemensah yang telah mengusahakan lebih dari 30 tahun kawasan tanah seluas 100 ekar yang pada asalnya adalah Tanah Rizab Melayu Sg Telaga tetapi pada 15 Januari 2015 telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Ulu Gombak (Tambahan)?
Pewartaan Hutan Simpan Ulu Gombak (Tambahan) telah dibuat pada 18 Januari 2010 dengan nombor warta 401 yang sebenarnya melibatkan kawasan seluas 114.48 hektar. Buat masa ini, pendirian Kerajaan Negeri adalah untuk terus mengekalkan status kawasan tersebut sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
-
Apakah kerajaan bersedia menukar status tanah seluas 100 ekar dengan pada masa sama mematuhi syarat pengekalan sebanyak 32% kawasan berhutan di Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor belum bersedia untuk menukar status tanah seluas lebih 100 ekar tersebut. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri komited untuk mengekalkan kawasan berhutan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) tidak kurang daripada 30% daripada keluasan Negeri.
-
Apakah Kerajaan Negeri boleh menukar status kawasan ini jika cukup fakta menyatakan bahawa keadaan kawasan tersebut tidak lagi sesuai sebagai kawasan hutan simpan?
Secara dasarnya, Kerajaan Negeri Selangor boleh mengeluarkan mana-mana kawasan tanah dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan syarat sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 11, Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985.
Keperluan di bawah peruntukkan seksyen ini satu proses pendengaran awam (Public Inquiry) hendaklah dijalankan. Sekiranya diluluskan, proses penggantian semula kawasan yang dicadangkan untuk dikeluarkan perlu dilaksanakan secara serentak. Namun begitu, dasar Kerajaan Negeri di dalam perkara sebegini hanyalah untuk projek-projek pembangunan yang mempunyai kepentingan orang awam dan bukannya untuk pertanian atau persendirian.