Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

84) CAR BOOT SALE

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah polisi Kerajaan terhadap aktiviti hujung minggu rakyat yang dipanggil sebagai ÒCar Boot SaleÓ?

    PBT tiada halangan bagi mana-mana badan persatuan/swasta yang ingin menganjurkan aktiviti ‘Car Boot Sale’ dengan syarat perlu mendapat kelulusan daripada pihak PBT dan ia tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan masa program dijalankan.

     

  2. Apakah syarat-syarat yang telah dikenakan/akan dikenakan kepada individu yang terlibat dalam perniagaan sebegini?

    Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak penganjur untuk menganjurkan aktiviti ‘Car Boot Sale’ adalah seperti berikut:-

    1. TIDAK DIBENARKAN menggunakan KHEMAH sewaktu berniaga. Hanya payung besar sahaja dibenarkan atas tujuan perlindungan dari panas dan hujan.
    2. Barangan jualan hendaklah disusun rapi hanya di hadapan bonet kereta masing-masing dan pastikan tidak mengganggu laluan pengunjung.
    3. Barangan jualan yang dibenarkan hanyalah barangan terpakai dan baru seperti produk tekstil, produk tanaman dan produk kosmetik.
    4. Bagi produk makanan dan minuman hanya makanan dan minuman kering yang siap diproses dan dibungkus sahaja dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti memasak.
    5. DILARANG menjual barangan mentah/basah, makanan dan minuman yang belum diproses dan dibungkus, barangan cetak rompak serta barang terlarang menurut undang-undang yang digunapakai di Malaysia.
    6. Menjaga kebersihan kawasan semasa dan selepas perniagaan.
    7. Tidak dibenarkan meninggalkan sebarang hasil jualan atau sampah sarap selepas waktu perniagaan.
    8. Permit perlu dipamerkan semasa menjalankan aktiviti perniagaan untuk tujuan pemeriksaan.
    9. Peniaga hendaklah berada di lokasi sepanjang waktu perniagaan.
    10. Peniaga tidak dibenarkan menukar milik permit kepada orang lain tanpa kelulusan PBT.
    11. Dilarang menjalankan sebarang aktiviti yang mengganggu ketenteraman pengunjung dan masyarakat setempat.
    12. Permit perniagaan perlu diperbaharui 2 minggu sebelum tarikh tamat permit.
    13. Memastikan tiada sebarang aduan dari aktiviti perniagaan diterima oleh pihak PBT.
    14. Sekiranya terdapat majlis-majlis rasmi Kerajaan diadakan di tapak perniagaan ini, pihak PBT berhak menggunakannya dengan notis kepada peniaga dalam tempoh tidak kurang daripada 7 hari.
    15. Pihak PBT berhak mengubah syarat-syarat dan peraturan dari masa ke semasa tanpa sebarang notis.
  3. Bolehkah lesen dikecualikan daripada peniaga-peniaga car boot sale?

    Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan agar fi lesen dikecualikan ke atas penjaja dan peniaga kecil di seluruh kawasan di Negeri Selangor sebagai insentif kepada golongan ini bagi menghadapi kesukaran atas kenaikan kos sara hidup dan kelembapan ekonomi.

Lampiran

Tiada Lampiran.