Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
65) PENURAPAN JALAN LUAR BANDAR DESA & KAMPUNG
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah punca dan sebab permohonan menggunakan peruntukan MARRIS untuk menurap kawasan jalan / lorong / lorong belakang rumah di sekitar luar bandar, desa dan kampung tidak dibenarkan? Sedangkan kewujudan sebahagian besar kawasan perkampungan bermula sebelum zaman kemerdekaan Malaysia
Punca mengapa permohonan menggunakan peruntukan MARRIS untuk menurap kawasan jalan / lorong / lorong belakang rumah di sekitar luar bandar, desa dan kampung tidak dibenarkan kerana beberapa perkara antaranya struktur jalan sedia ada tidak menepati spesifikasi minimum jalan MARRIS seperti lebar permukaan jalan bagi Jalan Kampung minimum ialah 4.27 meter (14 kaki) manakala bagi Lorong Belakang ialah 2.44 – 4.27 meter (8 -14 kaki). Pembinaan jalan sedia ada yang bukan di atas rizab jalan atau tiada izin lalu bertulis dari tuan tanah juga yang menyebabkan permohonan tidak dapat dipertimbangkan melainkan selepas izin lalu bertulis diperolehi.
-
Apakah keputusan yang diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat mengenai permohonan yang dihantar untuk menurap jalan, lorong dan lorong belakang rumah kawasan Kampung Telok Datok, Kampung Fatimah, Kampung Sungai Sedu, dan juga permohonan lot-lot tanah jalan persendirian yang telah dihantar?
Bagi permohonan menurap Jalan Kampung Sungai Sedu, permohonan tersebut telah dilaksanakan menggunakan peruntukan MARRIS 2016 pada 16 Mei 2016. Manakala bagi sebahagian jalan di Kg Fatimah dan Kg Telok Datok, permohonan menurap semula jalan di kampung tersebut tidak dapat dilaksanakan di bawah peruntukan MARRIS kerana jalan tersebut bukan berada di atas rizab jalan dan ia tidak dapat didaftarkan di dalam sistem MARRIS. Walau bagaimanapun, pentadbiran ini akan memohon untuk menurap semula jalan tersebut menggunakan peruntukan Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar (PILB) bagi jalan-jalan persendirian yang boleh dilalui 24 jam untuk orang awam. PDT Kuala Langat akan mengeluarkan satu Surat Akujanji kepada mana-mana permohonan jalan yang bukan berada di atas rizab jalan untuk diisi oleh tuan tanah yang membenarkan tanahnya dilalui supaya tiada pertikaian atau tuntutan kepada pihak kerajaan negeri di masa hadapan. Setelah akujanji diserahkan oleh tuan tanah, PDT Kuala Langat akan memohon menurap semula jalan tersebut di bawah peruntukan PILB.
-
Mengapakah proses pertimbangan dan keputusan memakan masa yang terlalu lama?
PDT Kuala Langat telah menerima peruntukan MARRIS pada tahun 2016 sebanyak RM1.11 juta. Daripada jumlah itu, ianya digunakan untuk menyelenggara jalan-jalan bagi 34 Kampung Tradisi dan 2 Kg Baru di dalam daerah ini. Keutamaan permohonan menurap semula bergantung kepada keadaan kritikal bagi sesebuah jalan yang diadukan oleh pihak awam.