Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
59) KETUA KAMPUNG DAN KETUA KOMUNITI
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila senaraikan semua ketua kampung tradisi, ketua kampung Cina dan ketua komuniti India yang dilantik untuk 2016, mengikut kawasan DUN.
Berdasarkan Manual Panduan Kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor yang telah dikeluarkan pada tahun 2001, JKKK ditubuhkan di kampung-kampung adalah bertujuan untuk memastikan kelancaran pembangunan Negara. Keperluan asas pembangunan Negara adalah satu kesepakatan penduduk yang perlu digembleng melalui kepimpinan yang dinamik dan pentadbiran yang teratur. Penubuhan JKKK juga penting bagi memastikan matlamat pembangunan desa seperti pembasmian kemiskinan, pemodenan desa dan kemajuan dalam pembangunan tercapai.
Pentadbiran JKKK ini diketuai oleh Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi memimpin dan mengetuai sesebuah kampung di Negeri Selangor. Pelantikan dan penamatan jawatan seseorang Ketua Kampung adalah dibuat oleh YAB Menteri Besar Selangor dengan pengesyoran yang dibuat oleh Pegawai Daerah yang berkaitan.
Pada tahun 2016, terdapat 494 orang pemimpin di peringkat kampung dan komuniti yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, berikut dilampirkan perincian mengikut pecahan kampung:
Jumlah Ketua Kampung Tradisi 368 Ketua Kampung Baru 78 Ketua Komuniti India 48 Senarai Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru dan Ketua Komuniti India yang telah dilantik untuk tahun 2016 adalah seperti di Lampiran A.
Secara dasarnya tugas Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru dan Ketua Komuniti India adalah sama di mana perbezaannya hanya melibatkan komuniti kampung tersebut sahaja. Tugas-tugas yang dijalankan juga sama iaitu bertanggungjawab untuk menyampaikan kepada penduduk akan dasar-dasar Kerajaan, menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dan penduduk kampung, berusaha ke arah kemajuan kampung, menggalakkan orang kampung untuk membayar apa-apa hasil kepada Kerajaan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang serta menggalakkan semangat kerjasama dikalangan penduduk. Walau bagaimanapun, tanggungjawab Ketua Komuniti India adalah lebih kecil kerana mereka diletakkan di bawah pentadbiran JKKK dan hanya bertanggungjawab menjaga komuniti India di kampung-kampung.
-
Apakah elaun dan ganjaran lain yang diberi kepada mereka?
Ketua Komuniti India, Ketua Kampung Baru Cina dan Ketua Kampung Tradisi masing-masing diberikan elaun oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui peruntukan yang disalur ke Pejabat Daerah yang berkenaan. Elaun tersebut juga akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan elaun yang diberikan sentiasa relevan dan bersesuaian dengan tanggungjawab yang diberikan kepada Ketua Kampung. Bermula tahun 2015, Ketua Kampung Tradisi dan Ketua Kampung Baru telah diberikan elaun sebanyak RM900.00 manakala Ketua Komuniti India pula diberikan elaun sebanyak RM500.00. Selain itu, setiap JKKK dan Komuniti India juga diberikan peruntukan tahunan yang digunakan iaitu sebanyak RM10,000.00 bagi menggerakkan aktiviti dan program JKKK dan komuniti.