Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

1) KOLAM TAKUNGAN BANJIR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pada Sidang DUN Ogos, 2015, Dewan telah diberitahu Kerajaan Selangor melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) akan menyelenggara 314 kolam takungan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat. Sehingga kini, berapakah jumlah kolam takungan yang telah diselenggara?

    Sehingga Disember 2015, Jabatan Pengairan Negeri Selangor telah menyelenggara sebanyak 70 kolam takungan banjir di seluruh Negeri Selangor. Manakala pada tahun 2016, sebanyak 63 kolam akan di selenggara. Maka secara keseluruhan, menjelang bulan Disember 2016 sebanyak 133 kolam takungan banjir daripada 314 kolam akan siap di selenggara.

  2. Berapakah peruntukan keseluruhan untuk menyelenggara 314 kolam tersebut dan mohon dinyatakan lokasi-lokasi kolam yang telah diselenggara

    Jumlah peruntukan yang diperlukan mengikut tahun bagi penyelenggaraan 314 kolam takungan banjir ini adalah seperti berikut:

    Tahun Jumlah
    2015 2016 2017 2018
    RM6.67 Juta RM8.0 Juta RM8.0 Juta RM8.0 Juta RM30.67 Juta

    Berikut adalah sasaran bagi bilangan kolam yang akan di selenggara:

    2015 2016 2017 2018
    sasaran dilaksanakan sasaran dilaksanakan sasaran dilaksanakan sasaran dilaksanakan
    84 70 80 63 80 0 80 0
  3. Apakah instrumen atau kaedah yang digunakan dalam penyelenggaraan kolam tersebut, Sebagai contoh, adakah penyelenggaraannya dilakukan oleh kontraktor yang dipilih secara tender?

    Kesemua kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir ditawarkan kepada kontraktor yang berjaya berdasarkan tatacara perolehan kerajaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia seperti berikut:

    • Bagi perolehan kerja yang bernilai tidak melebihi RM20,000 dibuat secara lantikan terus di kalangan kontraktor gred G1 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
    • Bagi perolehan kerja yang bernilai di antara RM20,000 hingga RM500,000 dibuat secara sebutharga di kalangan kontraktor gred G1 dan G2 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
    • Bagi perolehan kerja yang bernilai RM500,000 ke atas, dibuat secara tender di kalangan kontraktor gred G3 hingga G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Lampiran

Tiada Lampiran.