Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
175) POTENSI TARIKAN PELANCONGAN
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan untuk mengoptimumkan produk khusus mercu kejayaan Kerajaan Negeri iaitu Jambatan Ke-3 Klang untuk menarik pelancong?
Jambatan Ke 3 di Klang telah diberi peruntukan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM236,714,643.21 No. Kontrak : JKR/Sel/552/2014 yang bakal siap pada tahun 2017 akan menjadi produk khusus mercu kejayaan Kerajaan Negeri untuk menarik pelancong. Di mana reka bentuk jambatan yang unik dan menarik ini bakal menarik ramai pelancong melihat keindahan pemandangan di kawasan sekitar Sungai Klang. Malah, jambatan ini bakal meredakan kesesakan lalu lintas yang amat teruk di Klang. Maka, secara langsung akan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke tempat menarik di Klang.
Di samping itu, Jambatan Ke 3 ini boleh dijadikan tempat penggambaran filem dari dalam dan luar negara sebagai lokasi salah satu babak di dalam filem. Tambahan pula, pertumbuhan ekonomi di Klang nescaya akan menjadi lebih rancak selepas Jambatan Ke 3 ini disiapkan. Maka, secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pelancong dan pelabur yang berpotensi di dalam atau di luar negara berkunjung ke Klang untuk mencari peluang pelaburan di kawasan Klang.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri akan membangunkan Pengkalan Batu sebagai produk pelancongan unik dengan gabungan Masjid DiRaja Klang dan Jambatan Ke-3 Klang?
Pengkalan Batu seluas 5.3 ekar merupakan satu destinasi tempat pelancongan yang menarik. Di mana pihak Majlis Perbandaran Klang telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan dek memancing, wakaf, alat permainan kanak-kanak, pelantar pemandangan yang indah, laluan pejalan kaki, pondok rehat dan tempat senaman untuk kemudahan masyarakat.
Dengan adanya gabungan Masjid DiRaja Klang dan Jambatan Ke 3 Klang yang dijangka siap pada tahun 2017 akan mewujudkan satu rangkaian perjalanan darat yang cukup menarik untuk para pelancongan sampai ke Klang.
Gabungan Masjid di Raja Klang, Jambatan Ke 3 Klang dan Pengkalan Batu boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan yang menarik dengan mewujudkan aktiviti air dan darat antara tempat-tempat ini. Untuk aktiviti air seperti memancing ikan, sukan air dan Klang River Cruise. Manakala untuk aktiviti darat seperti “explorace” mencari harta karun, aktiviti kayuhan basikal dan Larian DiRaja Klang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan unik di kawasan-kawasan ini. Tambahan pula, kawasan di Pengkalan Batu boleh dijadikan sebagai tempat pilihan “Wedding Photoshoot” pengantin-pengantin baru dari dalam dan luar negara.
-
Apakah agensi yang berkaitan yang boleh membantu membangun sesebuah lokaliti sebagai destinasi pelancongan lokal?
Agensi yang paling penting untuk membantu membangun sesebuah lokaliti sebagai destinasi pelancongan lokal ialah Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Klang. Namun demikian, rangkaian perhotelan yang boleh menawarkan harga yang murah dan perkhidmatan yang baik juga memainkan peranan yang penting. Di samping itu, sistem pengangkutan air, darat dan udara yang cekap akan membantu memberi kemudahan kepada para pelancong berkunjung ke sesebuah lokaliti. Tambahan pula, agensi-agensi seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Persatuan Sejarah dan Warisan Negeri juga boleh menyumbang membantu membangunkan lokaliti sebagai destinasi pelancongan lokal yang menarik dengan mengadakan pertunjukan acara-acara kebudayaan dan pameran barang-barang warisan di sesebuah lokaliti.