Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
153) SMART SELANGOR FOOD STAMP
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan bilangan rakyat Selangor yang memperolehi faedah daripada Program ÔSmart Selangor Food StampÕ mengikut pecahan kawasan Dewan Negeri.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 100 buah keluarga dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor untuk memperolehi faedah daripada Program ‘Smart Selangor Food Stamp’. Sehingga September 2016, sebanyak 5,404 buah keluarga telah menerima manfaat dari program tersebut. Senarai penerima bantuan Program ‘Smart Selangor Food Stamp’ mengikut pecahan DUN dari bulan Jun hingga Ogos 2016 adalah seperti di Jadual 1.
-
Apakah respon dan permasalahan yang wujud berikutan dengan program ini jika ada?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Negeri Selangor bersama Hijrah Selangor sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam memastikan pelaksanaan program ‘Smart Selangor Food Stamp’ ini berjalan dengan lancar. Sehubungan itu, Jawatankuasa Tetap Kebajikan telah mendapatkan maklum balas dari setiap Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di seluruh Negeri Selangor berhubung dengan penambahbaikan bagi menjadikan sistem penyampaian pelaksanaan Program ‘Smart Selangor Food Stamp’ dapat diberikan secara berkesan kepada penerima-penerima yang layak.
Di antara penambahbaikan yang telah dilakukan adalah seperti berikut:-
- Menyediakan jadual penghantaran barangan ke semua PKM sebelum hari pelaksanaan Food Stamp yang telah ditetapkan pada setiap hari Jumaat minggu ketiga pada setiap bulan;
- Membuat panggilan telefon sebelum penghantaran dilakukan kepada semua PKM oleh Hijrah Selangor bagi memastikan barangan ‘Smart Selangor Food Stamp’ tiba pada masa yang telah ditetapkan;
- Menyediakan beg pembungkusan kepada setiap penerima bantuan bagi memudahkan urusan membawa balik barangan bantuan yang diterima; dan
- Mengkaji semula dan membuat penambahan bilangan barangan keperluan mengikut kesesuaian harga pasaran semasa.
Selain daripada itu, lain-lain penambahbaikan sedang giat dijalankan bagi memastikan program ini dapat memenuhi keperluan penerima bantuan.
-
Adakah ianya akan diteruskan pada masa akan datang?
Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian bantuan makanan asas ‘Smart Selangor Food Stamp’ ini pada masa akan datang. Secara keseluruhannya, program ini dilihat dapat membantu golongan keluarga yang miskin dan dapat meringankan kos sara hidup yang kian meningkat di samping sebagai penjimatan serta jaminan mereka untuk menerima makanan asas secara bulanan.