Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
148) BAS PERCUMA SMART SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk mengenakan charge minima RM1 kepada penumpang bukan warganegara Malaysia? Jika tidak, apa rancangan Kerajaan?
Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang diberikan secara percuma kepada semua lapisan masyarakat di Negeri Selangor adalah di atas keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat. Kerajaan Negeri percaya bahawa pemberian perkhidmatan bas secara percuma akan memberi kesan kepada aliran ekonomi dan secara tidak langsung menjana ekonomi setempat.
Pada masa ini, belum ada perancangan untuk mengenakan sebarang caj kepada penumpang bukan warga tempatan kerana golongan ini yang menetap dan bekerja di Negeri Selangor adalah terdiri daripada pekerja-pekerja industri, buruh dan ladang yang turut menyumbang di dalam pelbagai sektor pembangunan ekonomi sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun, kajian lebih lanjut boleh dilaksanakan untuk melihat keperluan dan menilai cadangan yang dikemukakan Ahli Yang Berhormat pada masa akan datang.
-
Bilakah bas percuma akan di rasai oleh penduduk di DUN Batu Tiga?
Perkhidmatan Bas Smart Selangor MBSA dijangka akan menambah dua laluan baru dan dijangka dapat dinikmati oleh penduduk pada bulan November 2016. Butiran laluan baru adalah seperti di bawah:
- Laluan 2
- Bermula Hentian Pusat Bandar Seksyen 14 Shah Alam ke Komuter Batu Tiga dengan hentian-hentian berikut:
- Hentian Pusat Bandar >> Kompleks PKNS >> Wisma MBSA >> Balai Seksyen 11 >> Masjid Negeri >> Pusat Komersil Seksyen 9 >> Persiaran Kayangan >> Tesco Seksyen 13 / Pusat Akuatik >> Pusat Komersil Seksyen 13 (Worldwide) / Zakat Selangor – Tesco Shah Alam /AEON Mall >> Bazarena / MSU >> Giant Seksyen 13 >> Terminal Sementara Shah Alam >> Politeknik >> Komuter Batu Tiga.
- Laluan 3
- Laluan 3A : Komuter Shah Alam >> Seksyen 18 >> Pusat Daerah Seksyen 18 >> Seksyen 24 >> Seksyen 18 >> Seksyen 19 (Komuter).
- Laluan 3B : Komuter Shah Alam >> Persiaran Sultan (Seksyen 19) >> Persiaran Jubli Perak (Seksyen 19) >> Poliklinik Seksyen 19 >> Seksyen 20 >> KPJ Shah Alam >> Pusat Komersil Seksyen 20 >> Seksyen 19 (Komuter).
-
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan perlaksanaan ini tertangguh hampir 4 bulan dari jangkaan awalnya?
Untuk makluman Yang Berhormat, perancangan awal bagi dua laluan tambahan Bas Smart Selangor MBSA adalah pada bulan Julai 2016. Walau bagaimanapun, penetapan laluan bagi Bas Smart Selangor perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan laluan yang dipilih menepati keperluan dan kriteria laluan yang telah ditetapkan dan dipersetujui di dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor dengan mengambilkira pandangan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selaku badan yang mengeluarkan kelulusan permit dan kebenaran laluan kepada penyedia perkhidmatan. Selain itu juga, Pihak Berkuasa Tempatan perlu menjalankan proses perolehan mengikut prosedur kewangan yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor.