Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

130) PEMBANGUNAN SUKAN SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai salah satu hub sukan negara?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor telah merangka dan menjalankan program sukan berprestasi tinggi bukan sahaja berjaya melahirkan ramai atlet-atlet yang cemerlang di SUKMA malah mereka juga cemerlang mewakili negara di peringkat antarabangsa. Dengan mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang sejak SUKMA diwujudkan, Negeri Selangor telah menjadi sebuah negeri yang mempunyai kuasa besar dalam bidang sukan bermula pada era 90-an lagi. Negeri Selangor menjadi contoh dan rujukan dari negeri-negeri lain dalam pembangunan sukan.

    Antara langkah-langkah Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai salah satu hub sukan negara adalah dengan mempraktikkan konsep 2i iaitu incorporate dan intergrate dengan semua agensi dan jabatan yang menjalankan program pembangunan sukan secara langsung dan tidak langsung di Negeri Selangor ini.

     

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan juga bukan hanya memberi tumpuan membangunkan sukan di Selangor dalam aspek prestasi tinggi sahaja, malah sukan untuk komuniti juga sedang rancak dijalankan dan antara produk utamanya adalah Sukan Selangor Plus. Selain daripada itu juga, langkah-langkah lain untuk menjadikan Selangor sebagai salah satu hub sukan negara dengan menjadi tuan rumah kepada kejohanan-kejohanan sukan di peringkat antarabangsa. Negeri Selangor berpotensi menjadi tuan rumah kerana Negeri Selangor mempunyai kemudahan dan strategik dengan kedudukannya di Lembah Klang. Dengan penganjuran kejohanan-kejohanan antarabangsa ini, secara tidak langsung ianya memberi impak kepada ekonomi negeri terutamanya dalam aspek pelancongan di mana di era masa kini sukan juga dijadikan sebagai ‘sports tourism’. Dengan pengurusan sukan yang strategik, Negeri Selangor mampu menjadi satu hub sukan negara pada masa akan datang.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai kilang atlet negara?

    Kerajaan Negeri telah menjalankan program pembangunan sukan sejak Majlis ini ditubuhkan. Pelbagai perancangan dan kaedah yang diterapkan untuk menjadikan Selangor sebagai penyumbang utama atlet yang berkualiti mewakili negara.

    Selain itu, Majlis Sukan Negeri Selangor sedang menyelaraskan program pembangunan sukan iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD) dengan kerjasama Majlis Sukan Daerah, Persatuan Sukan Negeri dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) bagi memastikan sukan-sukan di setiap daerah berjalan dengan lancar.

    Pusat Latihan Daerah (PLD) diwujudkan untuk merancakkan lagi pembangunan sukan di daerah. Selain itu, dapat membantu Majlis Sukan Negeri Selangor untuk mencari bakat-bakat baru bagi mewakili Negeri Selangor.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.