Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

44) INSENTIF DAN PROGRAM BARU PeBT

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program baru yang boleh menarik seramai mungkin belia untuk membangunkan diri di bawah PeBT?

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan sentiasa mencari pembaharuan dan amat menitikberatkan aspek pembangunan generasi muda dan sukan dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang sentiasa berdaya saing, bersatu-padu, bekerjasama, berwawasan, aktif dan sihat sejajar dengan arus pembangunan pada masa kini.

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan akan memulakan satu inisiatif baru iaitu Sahabat Gen-S. Sahabat Gen-S yang akan diperkenalkan bertujuan untuk menarik penglibatan Generasi Muda terutamanya di Selangor dalam bentuk kesukarelawanan dan aktiviti kemasyarakatan selaras dengan Dasar Belia Selangor. Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk mendidik dan memupuk nilai-nilai murni di kalangan generasi muda untuk sentiasa memberi khidmat kepada rakyat Selangor secara sukarela.

    Di samping itu, pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga akan diperkukuhkan menerusi program dan latihan selaras dengan kehendak Generasi Muda Selangor. Antara program dan latihan yang akan dianjurkan adalah Program Latihan Pemantapan Organisasi dan Kepimpinan dalam usaha untuk melahirkan PeBT yang sentiasa berkaliber, komited dan mempunyai pemikiran yang luas ke arah pembangunan generasi muda sebagai penggerak kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

    Seterusnya, Program Le Tour De Selangor akan dilaksanakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mampu menarik lebih ramai penglibatan golongan generasi muda dalam aktiviti berbasikal yang semakin diminati dalam usaha untuk melahirkan golongan generasi muda yang aktif dan sihat.

    Selain itu, Program Liga Sukan Selangor Plus akan turut dilaksanakan dengan pembaharuan di mana penglibatan adalah di peringkat Penggerak Belia Tempatan (PeBT). Inisiatif ini adalah selaras dengan pelantikan PeBT yang baru di kalangan generasi muda yang berumur 30 tahun ke bawah yang mampu menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai 5 acara sukan yang akan dipertandingkan iaitu tarik tali, futsal, bola jaring 3 on 3, bola keranjang 3 on 3 dan sepak takraw antara regu. Dengan adanya program sukan sebegini, ia mampu untuk menarik minat golongan belia untuk bergiat dalam aktiviti sukan dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang aktif dan sihat.

  2. Adakah peruntukan untuk PeBT akan bertambah bagi merancakkan jaringan dengan belia?

    Pada tahun 2016, peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) masih dikekalkan seperti tahun 2015 di mana setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diperuntukkan sebanyak RM120,000.00 yang menjadikan keseluruhan adalah sebanyak RM1,440,000.00 untuk semua PBT bagi menjalankan program-program PeBT yang telah dirancang. Untuk makluman, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada PBT di mana PBT dikehendaki untuk memantau dan merancang pelaksanaan program PeBT masing-masing untuk memastikan pelaksanaan program adalah sebagaimana yang telah dirancang.

    Di samping itu, peruntukan elaun Penggerak Belia Tempatan (PeBT) masih dikekalkan iaitu sebanyak RM500.00 sebulan untuk elaun Pengerusi Induk PeBT dan sebanyak RM400.00 sebulan untuk elaun Pengerusi PeBT yang menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM1,324,800.00.

  3. Adakah Kerajaan Negeri boleh menjamin keperluan sukan yang berkualiti untuk belia sekurang-kurangnya setiap DUN?

    Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Selangor dalam usaha untuk meningkatkan mutu sukan terutamanya di kalangan generasi muda dan menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti riadah.  Sehubungan itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6,680,000.00 untuk projek membaikpulih kemudahan sukan di Negeri Selangor termasuk peruntukan untuk membaikpulih kemudahan sukan di peringkat DUN yang telah dinaikkan daripada RM20,000.00 kepada RM40,000.00 kepada setiap DUN untuk tujuan ini yang mana projek ini akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pemilihan bagi kelulusan projek ini adalah mengikut tahap projek kemudahan tersebut. Berikutan, pihak DUN boleh mengemukakan permohonan tersebut kepada pihak PBT untuk kelulusan di peringkat Kerajaan Negeri.

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri dalam tindakan untuk mendapatkan data dan status semasa kemudahan sukan di Selangor dalam usaha untuk memastikan kemudahan-kemudahan sukan tersebut dapat dinaiktaraf dan seterusnya digunakan untuk tujuan aktiviti sukan kemasyarakatan. Walau bagaimanapun, projek-projek pembangunan infrastruktur sukan akan diutamakan kepada kemudahan-kemudahan sukan yang kritikal dan perlu dinaiktaraf segera.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membina sebanyak 33 buah dataran anak muda atau dataran serbaguna di 33 DUN. Kemudahan-kemudahan sukan ini disediakan untuk kegunaan aktiviti sukan dan kemasyarakatan seperti futsal, bola jaring, bola keranjang dan badminton untuk menjamin keperluan sukan yang berkualiti dan memupuk semangat bersukan dan seterusnya menggalakkan penglibatan golongan generasi muda dalam aktiviti sukan yang mampu melahirkan golongan belia yang sihat, cergas dan aktif.

Lampiran

Tiada Lampiran.