Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
35) PASUKAN RONDAAN KAMPUNG
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri memperlengkapkan pasukan rondaan kampung bertujuan menjaga keselamatan dan mencegah mungkar dengan sistem yang teratur (berjadual/terlatih), berkebajikan (elaun token) dan ada ciri keselamatan?
Kerajaan Negeri memandang serius terhadap keselamatan penduduk kampung di Negeri Selangor. Sehubungan itu, pada tahun 2013 Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Program Pasukan Kejiranan Kampung (PKK) di Kampung Tradisi, Kampung Baru/Tersusun/Bagan dan Komuniti India dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2,460,000.00.
Pada tahun 2014, program ini telah diteruskan pelaksanaannya di 368 buah Kampung Tradisi yang melibatkan implikasi kos berjumlah RM1,840,000.00. Melalui program ini, setiap kampung telah diberikan peruntukan sebanyak RM5,000.00 bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan kampung dengan lebih efektif dan cekap.
Objektif utama penubuhan PKK di peringkat kampung ini adalah bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan luar bandar di Selangor. Di samping itu, penubuhan ini akan meningkatkan hubungan kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk kampung sendiri. Namun begitu, adalah menjadi peranan ahli-ahli JKKK sendiri di dalam menjaga keselamatan kampung supaya kehidupan masyarakat kampung diperkukuhkan. Dengan wujudnya PKK di peringkat kampung tradisi, keselamatan dan kesejahteraan kampung telah dapat dipertingkatkan.
-
Sejak 2008 hingga Jun 2016, berapakah insiden yang tidak diingini yang melibat pasukan rondaan kampung?
Sejak Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan PKK pada tahun 2013, banyak aktiviti rondaan dilakukan secara berkala di kampung-kampung. Terdapat beberapa kes yang telah ditemukan oleh PKK secara tidak langsung semasa melakukan rondaan antaranya tangkapan kes khalwat oleh PKK Kampung Rinching Hilir dan penemuan insiden ragut oleh PKK Kampung Batu Belah.