Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

184) KAJIAN PENGANGKUTAN AWAM SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status kajian rancangan pengangkutan untuk Negeri Selangor?

    Untuk makluman YB, Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor telah dimulakan pada Ogos 2016 dan pada Januari 2016 Kerajaan Negeri telah menerima deraf Laporan Akhir Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor. Selanjutnya, Kerajaan Negeri telah mengadakan sesi keterlibatan (engagement) deraf Laporan Akhir Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor bersama pihak ADUN, Ahli Parlimen, Ahli Majlis, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakyat bagi mendapatkan maklum balas dan input berkaitan pelan induk tersebut.

    Maklum balas dan input tambahan melalui sesi tersebut akan diambilkira bagi memuktamadkan Laporan Akhir pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dalam tempoh yang terdekat.

  2. Adakah kerajaan negeri sedia untuk membiayai perlaksaan pembinaan laluan rel sepertimana yang diusahakan oleh Pulau Pinang?

    Penyediaan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor dilaksanakan dengan objektif untuk menyediakan satu dokumentasi yang akan menjadi rujukan semua agensi dan stakeholder Kerajaan Negeri Selangor terutama yang terlibat dengan perancangan jaringan perhubungan dan pengangkutan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pelan ini adalah selari dengan dasar Kerajaan Negeri ke arah nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian sebanyak 60:40. Ia merupakan salah satu komitmen Kerajaan Negeri untuk merapatkan jurang yang besar antara penggunaan pengangkutan awam dengan penggunaan kenderaan persendirian ekoran penumpuan yang terlalu lama oleh Kerajaan Persekutuan terhadap pembinaan infrastruktur lebuh raya.

    Pelan yang turut meliputi cadangan jajaran rel dan bas merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam merangka jajaran perkhidmatan rel yang menepati kehendak dan keperluan rakyat Negeri Selangor secara khusus dan Negara secara amnya. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan sebagai pelaksana adalah bertanggungjawab terhadap pembangunan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan di Malaysia termasuk kemudahan rel dan Kerajaan Negeri pada masa ini masih belum bercadang untuk membiayai pelaksanaan perkhidmatan rel.

Lampiran

Tiada Lampiran.