Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

67) KEBUN KOMUNITI

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kebun komuniti mengikut setiap PBT.

    Kebun komuniti atau kebun kejiranan merupakan aktiviti pertanian yang dijalankan di kawasan kejiranan sama ada diusahakan secara individu atau komuniti. Ia merupakan satu usaha yang boleh menggalakkan pengeluaran makanan tempatan dan menjadi sumber untuk bekalan hasil-hasil pertanian bagi kegunaan sendiri atau dijual bagi meningkatkan ekonomi komuniti di sesuatu kawasan. Selain itu, kebun kejiranan/komuniti ini merupakan langkah yang boleh dilaksanakan bagi menghijau dan mengindahkan kawasan persekitaran. Kerajaan Negeri Selangor melalui PBT-PBT Negeri Selangor telah melaksanakan kebun komuniti di bawah Pelan Tindakan Local Agenda 21 (LA21) bagi menggalakkan aktiviti pertanian di kalangan penduduk bandar. Sehingga kini, terdapat 70 kawasan yang terlibat dengan Projek Kebun Komuniti di kawasan PBT Negeri Selangor dengan pecahan mengikut PBT seperti berikut:-

     

    PBT

     

    Jumlah kebun komunti

    MBSA 9
    MBPJ 4
    MPK 1
    MPSJ 20
    MPAJ 12
    MPKj 4
    MPS 6
    MPSP 3
    MDKL 2
    MDKS 7
    MDHS 2
    MDSB TIADA
    JUMLAH 70

    Jadual 1: Jumlah kebun komuniti mengikut PBT

     

  2. Nyatakan implikasi kewangan setiap PBT dalam membina dan meyelenggara kebun komuniti.

    Jumlah implikasi kewangan bagi setiap PBT dalam membina dan menyelenggara kebun komuniti adalah RM1,489,720.50. Perbelanjaan ini adalah termasuk penyediaan plot tapak, pembelian biji benih dan baja, pemasangan sistem penyiraman, kursus, kempen kesedaran dan aktiviti promosi melalui pertandingan yang dijalankan di antara kebun-kebun komuniti. Pecahan perbelanjaan adalah seperti berikut:-

     

    PBT

    Jumlah pembinaan dan penyelenggaraan kebun komunti

    (RM)

    MBSA 374,000.00
    MBPJ 754,000.00
    MPK TIADA
    MPSJ 144,355.50
    MPAJ 24,000.00
    MPKj 32,000.00
    MPS 70,000.00
    MPSP 41,365.00
    MDKL 10,000.00
    MDKS TIADA
    MDHS 40,000.00
    MDSB TIADA
    JUMLAH 1,489,720.50

    Jadual 2: Jumlah pembinaan dan penyelenggaraan kebun komuniti mengikut

    PBT

     

  3. Sejauh manakah perancangan kerajaan negeri dalam menambahbaik dan membangunkan kejiranan hijau di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik cadangan dan bersedia untuk untuk menambahbaik dan membangunkan kejiranan hijau di Selangor. Kerajaan Negeri Selangor melalui PBT-PBT Negeri Selangor bercadang untuk menggalakkan pengwujudan Pusat Kompos Setempat dan kebun komuniti di setiap PBT atau di taman-taman perumahan Negeri Selangor di bawah Pelan Tindakan Local Agenda 21 (LA21). Walau bagaimanapun, cadangan ini masih sedang diperhalusi sebelum ianya dapat dilaksanakan di semua PBT Negeri Selangor.

    Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor melalui PBT-PBT Negeri Selangor ada memberikan galakan atau insentif kepada peserta kebun komuniti dengan menyediakan khidmat nasihat dan keperluan bahan tanaman seperti menyediakan plot tapak pertanian, membantu membuat persiapan tapak, mengedarkan biji benih dan baja serta memberi khidmat nasihat mengenai sistem penyiraman yang berkesan. Selain itu, PBT-PBT Negeri Selangor turut mengadakan pertandingan di antara kebun-kebun komuniti dan kempen kesedaran mengenai pertanian dalam bandar kepada masyarakat dengan kerjasama agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan seperti NGO.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.