Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

64) SELANGOR HINDU ENDOWMENT BOARD (SHEB)

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah penubuhan SHEB merupakan bidang kuasa Kerajaan Pusa

    Ya, penubuhan SHEB jelas berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat. Dewan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menggubal suatu undang-undang bagi maksud menubuhkan SHEB. Kuasa untuk mentadbir hal berhubung “hindu endowment” adalah merupakan kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri. Manakala kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan penubuhan SHEB adalah tertakluk kepada Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama butiran 15(c) Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

  2. Apakah dasar dan pendirian Kerajaan Negeri terhadap penubuhan SHEB?

    Penentuan dasar dan polisi Negeri telahpun ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengambil maklum serta bersetuju dengan justifikasi bahawa penubuhan SHEB adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri dan ia terpulang kepada dasar dan polisi Kerajaan

    Dasar dan pendirian ini telah dimuktamadkan melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Darul Ehsan melalui Cabutan Daripada Keputusan MMKN Ke 5/2015 yang diadakan pada 4 Februari 2015 yang telah menimbang dan menangguhkan permohonan cadangan penubuhan SHEB.

    Memandangkan cadangan penubuhan SHEB ini telahpun disuarakan, dibentangkan, dibincangkan, diperhalusi, dipertimbangkan dan diputuskan di peringkat MMKN dan telah turut dimaklumkan dalam Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-13/2015 dan sekali lagi telah dimaklumkan dalam Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-13/2016, maka Kerajaan Negeri Selangor telah berpendirian untuk berpegang kepada keputusan yang telah dibuat demi memelihara konsistensi tadbir urus dan pembangunan Negeri ini.

    Pada peringkat awal cadangan penubuhan SHEB, Timbalan Ketua Menteri II Negeri Pulau Pinang telah mengutus surat dengan menyatakan kesediaan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menghulurkan bantuan/kerjasama kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha penubuhan SHEB sebagaimana penubuhan Penang Hindu Endowments Board (PHEB) yang telah ditubuhkan di bawah Ordinan Wakaf-Wakaf Hindu Bab 175 dan melaksanakan fungsi- fungsinya di Pulau Pinang.

    Walau bagaimanapun, pemakaian Ordinan Wakaf-Wakaf Hindu Bab 175 sepertimana yang terpakai ke atas PHEB adalah tidak terpakai ke atas negeri Selangor. Ini memandangkan undang-undang ‘the Straits Settlements’ yang diperkenalkan oleh Kerajaan Jajahan British hanya berkuat kuasa ke atas Singapura, Pulau Pinang dan Melaka dan diteruskan pemakaiannya selepas Semenanjung Malaysia mencapai kemerdekaan sebagai ‘existing law’.

    Selain itu, Unit Perlembagaan, Jabatan Peguam Negara, Malaysia telah turut mengesahkan bahawa hal berhubung “hindu endowment” adalah di bawah bidang kuasa perundangan Parlimen dan Dewan Negeri Selangor tidak diperuntukkan kuasa untuk menggubal undang-undang bagi maksud menubuhkan SHEB.

    Justeru itu, mengambil kira perbezaan ini dan akan wujud implikasi dari segi perundangan sekiranya SHEB ditubuhkan dan dibenarkan menjalankan fungsinya di Negeri Selangor khususnya dari sudut kesahannya atas ketiadaan keperluan dan peruntukan undang-undang untuk melaksanakannya, maka Kerajaan Negeri berkeputusan menangguhkan cadangan penubuhan SHEB.

Lampiran

Tiada Lampiran.