Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

48) PERINDUSTRIAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status pelabur asing semasa ke dalam negeri Selangor dari segi jumlah dan kedudukan (ranking).

    Bagi tempoh Januari hingga Mac 2016, sebanyak 51 projek perkilangan telah diluluskan MIDA di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 914,638,258. Dari jumlah ini sebanyak RM 436,443,339 adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 478,194,919 daripada pelaburan asing. Sebanyak 2,933 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil daripada projek-projek perkilangan yang telah diluluskan.

    Negeri Selangor mendahului Negeri-Negeri lain dengan mencatatkan bilangan kelulusan projek perkilangan tertinggi dengan 51 projek. Manakala dari jumlah nilai pelaburan ini Selangor menduduki tangga ke enam (6) dari segi jumlah nilai pelaburan.

  2. Senaraikan insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan.

    Secara dasarnya pihak Kerajaan Negeri tiada menawarkan sebarang insentif atau galakan berbentuk kewangan kepada pelabur tempatan atau asing.

    Insentif – insentif berbentuk kewangan yang diberikan kepada pelabur ketika ini adalah insentif yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Antara insentif utama yang ditawarkan adalah Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan.

    Walaupun secara dasarnya tiada insentif atau galakan berbentuk kewangan yang ditawarkan, namun pihak Kerajaan Negeri menyediakan agensi khusus seperti Invest Selangor untuk membantu para pelabur dari mula proses mengenalpasti tapak, menyelaras permohonan-permohonan kelulusan pembangunan serta membantu para pelabur menyelesaikan masalah yang dihadapi samada melibatkan pihak Kerajaan Negeri mahupun pihak Kerajaan Persekutuan.

  3. Nyatakan kesan dasar teknologi hijau terhadap industri berat di Selangor.

    Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan sumber semula jadi, serta meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Inisiatif untuk membangunkan dan melaksanakan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor adalah merupakan komitmen Kerajaan Negeri Selangor ke arah pembangunan ekonomi lestari dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020.

    Melalui Dasar Teknologi Hijau Negeri Selangor, Kerajaan Negeri bercadang untuk memberi tumpuan kepada 5 sektor utama bagi pembangunan teknologi hijau iaitu tenaga, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa dan air selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau Negara.

    Antara objektif pelaksanaan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    • Meningkatkan pelaburan hijau dan ekonomi hijau Negeri Selangor;
    • Menerapkan budaya hijau bagi menambah baik kualiti dan gaya hidup rakyat;
    • Mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti alam sekitar;
    • Meningkatkan imej dan menjadikan Kerajaan Negeri Selangor sebagai negeri contoh yang mempelopori dan mengamalkan bidang teknologi hijau di Malaysia

    Secara dasarnya, perlaksanaan dasar Teknologi Hijau Negeri Selangor tidak mendatangkan kesan yang besar kepada pertumbuhan industri berat di Selangor kerana;-

    • Perancangan pembangunan industri atau kilang dibangunkan mengikut garis panduan pembangunan yang ditetapkan dan di kawasan yang dikhususkan untuk industri berat sahaja.

     

    • Memberi tumpuan kepada pertumbuhan sektor – sektor industri terpilih yang berpotensi serta mesra alam.

     

    • Hala tuju pembangunan kawasan perindustri ke arah pembangunan lestari dan mampan yang menjadikan kehijauan taman sebagai salah satu ciri pembangunan kawasan perindustrian tersebut.

     

    • Inisiatif pengusaha industri untuk mendapatkan status Green Building Indexs (GBI)

     

    • Menggalakkan pihak syarikat menggunakan teknologi terkini bagi mengurangkan kadar pencemaran udara.

    Pihak industri juga menyambut baik inisiatif ini. Sebagai contoh pihak Perodua mengeluarkan produk terbaru mereka iaitu Perodua Bezza yang merupakan kenderaan EEV (Energy Efficient Vehicles). Manakala pihak UMW Toyota juga akan menghasilkan kenderaan EEV di kilang pengeluaran yang akan dibangunkan di Bukit Raja kelak.

Lampiran

Tiada Lampiran.