Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
42) PREMIUM RUMAH KEDAI YANG MELAMPAU TINGGI
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila senaraikan jumlah rumah kedai di Pekan Sekinchan yang bakal tamat tempoh pajakan 60 tahun.
Berdasarkan maklumbalas dari Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam, terdapat 7 lot perniagaan yang akan tamat tempoh pajakan 60 tahun di Pekan Sekinchan. Jumlah keseluruhan rumah kedai di Pekan Sekinchan pada masa ini adalah sebanyak 235 lot.
-
Sila nyatakan kenapa kadar penilaian semasa JPPH meningkat dengan mendadak setiap tahun.
Peningkatan kadar penilaian semasa yang mendadak adalah disebabkan beberapa faktor seperti berikut:-
- Terdapat permintaan yang tinggi dalam pasaran hartanah.
- Pembangunan pesat sesebuah kawasan akibat daripada penambahan infrastuktur.
- Pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan jumlah pelaburan domestik serta antarabangsa.
- Kestabilan sosio politik di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.
- Aktiviti spekulasi yang meluas oleh pelabur hartanah.
-
Sila huraikan insentif yang bakal diberikan oleh KNS untuk meringankan bebanan rakyat.
Berkaitan insentif yang bakal dberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor di dalam meringankan bebanan rakyat telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah dan Sumber Alam bertarikh 11 Julai 2016. Hasil daripada maklumbalas, mesyuarat telah bersetuju dengan kajian yang telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan perkara ini akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Kaedah Pertama
Bayaran premium nominal RM10,000.00 per hakmilik
Kaedah pertama ini akan dikenakan sekatan khas iaitu hartanah tidak boleh dijual selagi bayaran khas tidak dijelaskan mengikut pengiraan premium biasa (3/4 x 1/100 x nilaian pasaran yang diluluskan x tempoh pajakan)
Kaedah Kedua
Diskaun 30% jika premium dibayar sekaligus dalam tempoh 6 bulan (andaian tempoh bayaran premium adalah satu tahun)
Pemberian diskaun adalah bertujuan memberi galakan kepada pemohon supaya menyelesaikan bayaran premium dengan kadar segera sepertimana insentif yang diberikan dalam skim pemberimilikan bagi tujuan bangunan kediaman.
Kaedah Ketiga
Pengurangan tempoh pajakan tanah daripada 99 tahun kepada 60 tahun. Ini akan menyebabkan jumlah premium yang perlu dibayar berkurang 40%
Kaedah ini telah dilaksanakan melalui pemakaian Pekeliling PTGS Bil. 4/2003 dan seterusnya dalam Pekeliling PTGS 1/2016 – Kaedah Pembayaran Premium dan Premium Tambahan bagi pemberimilikan tanah dan pembangunan tanah di Negeri Selangor.