Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

21) PERLAKSANAAN PROGRAM KARNIVAL KAMPUNGKU KESAYANGANKU

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob Bin Sapari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakan kos pengendalian program Karnival Kampungku Kesayanganku?

    Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) merupakan program tahunan yang telah dilaksanakan bermula tahun 2015 untuk memperkasakan institusi kampung. Program ini juga diteruskan pelaksanaan pada tahun 2016 selepas mendapat maklum balas yang positif daripada Pejabat Daerah dan juga penduduk kampung. Anggaran kos pelaksanaan karnival ini bagi satu (1) daerah adalah sebanyak RM107,200.00 dan perinciannya adalah seperti berikut:

     

    BIL.

    JABATAN / BAHAGIAN / AGENSI JUMLAH

    (RM)

    1. UPEN (Sektoral)

    Standco Pembangunan Desa dan Kampung

    Tradisi

    70,000.00
    2. JAIS

    Standco Hal Ehwal Agama Islam

    3,000.00
    3. PADAT

    Standco Adat Melayu dan Warisan

    9,000.00
    4. Lembaga Zakat Selangor 5,700.00
    5. JKKK 2,000.00
    6. JAIS 6,200.00
      Bahagian Dakwah & UUKD  
    7. Jabatan Mufti Selangor 300.00
    8. Masjid 1,000.00
    9. PKM 10,000.00
      JUMLAH KESELURUHAN RM107,200.00

    Kos Pelaksanaan Karnival 3K untuk satu (1) Daerah

  2. Berapa jumlah program dilaksanakan di setiap daerah?

    Pelbagai program dilaksanakan sepanjang dua (2) hari karnival ini berlangsung. Antara pengisian penting program ini ialah perjumpaan antara YB EXCO bersama-sama penjawat awam di peringkat daerah dan program Akad Nikah Perdana. Perjumpaan ini telah dijadikan medan untuk YB EXCO mengambil tindakan drastik terhadap permasalahan yang timbul di daerah-daerah terlibat bersama-sama dengan jabatan yang berkaitan. Selain itu, acara kayuhan basikal juga dijadikan medan untuk YB EXCO melihat prasarana dan keadaan kemudahan asas yang terdapat di kampung tersebut. Semasa Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) juga, diadakan acara penyampaian sumbangan oleh ADUN tempatan serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dari rumah ke rumah oleh YB EXCO. Acara ini turut mendapat reaksi positif kerana ini merupakan peluang untuk YB EXCO berjumpa terus dengan penduduk kampung untuk mengetahui permasalahan di samping memaklumkan tentang dasar-dasar baru Kerajaan Negeri.

  3. Apakah kesan jangka panjang kepada ekonomi desa di atas penganjuran program ini?

    Semasa penganjuran Karnival Kampungku Kesayanganku (3K), penduduk kampung telah diberi peluang untuk menjalankan perniagaan masing-masing. Karnival ini juga telah dijadikan medium untuk peniaga kampung memperkenalkan produk-produk yang mereka miliki kepada orang ramai yang antaranya terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan Kerajaan yang datang ke karnival tersebut. Pengenalan ini seterusnya akan membantu peniaga kampung untuk mempromosikan produk-produk mereka kepada masyarakat dari luar.

Lampiran

Tiada Lampiran.