Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

246) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI DI HULU SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Status terkini Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa yang diambil alih oleh PKNS

    Untuk makluman Y. Berhormat, pemulihan Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa akan dilaksanakan PKNS secara ‘Reka dan Bina’ dan pelantikan kontraktor melalui Rundingan Terus. Syarikat Akar Indah Sdn. Bhd. Telah dikenalpasti untuk dilantik sebagai kontraktor utama bagi pemulihan projek ini. Maklumat-maklumat teknikal dan juga cadangan penyelesaian kepada penduduk sedang dalam proses dimuktamadkan

  2. Apakah keputusan Mahkamah terhadap projek perumahan terbengkalai di Lembah Beringin?

    Tetuan Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. Sebagai pelikuidasi telah melantik Legenda Beringin Sdn. Bhd. (LBSB) sebagai pemaju penyelamat melalui proses tender diadakan. Namun, terdapat pembida lain telah memfailkan permohonan ke Mahkamah berhubung isu pelantikan pemaju penyelamat berkenaan. Susulan itu, Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan telah diadakan pada 30 Mac 2015 dan perbicaraan semula diadakan pada 12 Oktober 2015 namun ditangguhkan kepada tarikh baru iaitu 15 April 2016. Dengan ini, usaha pemulihan projek terbengkalai di Lembah Beringin masih tertangguh sehingga keputusan Mahkamah

  3. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk memulihkan Projek Pembesaran Kampung Jawa (Taman Desa Beringin)?

    Seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, berdasarkan jawapan yang telah dikemukakan kepada YB DUN Kuala Kubu Baharu dalam sidang Dewan sebelum ini di mana Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang menumpukan penyelesaian ke atas 5 projek Pembesaran kampung di Negeri Selangor yang berpotensi untuk dipulihkan terlebih dahulu buat masa ini. Ini kerana ‘Kajian Kemungkinan’ yang dijalankan akan mengambil masa yang agak lama dengan memerlukan perincian maklumat daripada agensi berkaitan dan pembeli terlibat seterusnya mengenal

     

    pasti kaedah penyelesaian terbaik dan menyeluruh. Untuk itu, Kerajaan Negeri tetap memberikan komitmen ke atas usaha penyelesaian Projek Pembesaran Kampung Jawa (Taman Desa Beringin) malahan juga projek pembesaran Kampung Serendah Perdana yang terbengkalai di Mukim Serendah, Hulu Selangor yang turut memerlukan penyelesaian.

     

    Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri mensasarkan Projek Pembesaran Kampung Jawa (Taman Desa Beringin) dapat dijalankan Kajian Kemungkinan pada akhir tahun 2016 dengan kerjasama daripada PKNS setelah Skim Pemulihan melibatkan 5 projek terlibat berjalan dengan lancar. Sehubungan itu, satu perbincangan dengan PKNS dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah diadakan pada 21 Mac 2016 dan bersetuju secara dasar supaya cadangan pindaan ‘zoning’ Rancangan Tempatan (RT) dilaksanakan daripada zon perumahan kepada zon industri disebabkan kerana kedudukan projek yang jauh daripada ‘zoning’, projek berupaya berdaya maju untuk dipulihkan semula dan menyelesaikan masalah pembeli.

     

    Oleh itu, PKNS dan MDHS akan melaksanakan Kajian dijangkakan mengambil masa selama 6 bulan untuk menyiapkan cadangan penyelesaian tersebut sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang dipengerusikan oleh EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar di mana wakil ADUN dan pembeli serta agensi berkaitan akan dijemput hadir sama dalam mesyuarat tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.