Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
245) PENGERUSI JKKK KG TRADISI DI SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah Pengerusi JKKK Kg Tradisi yang sedia ada mengikut pecahan parti politik
Ketua Kampung adalah seorang yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi memimpin dan mengetuai sesuatu kampung di Negeri Selangor. Pelantikan yang dibuat mengikut Pekeliling Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (Pekeliling Selangor Bil. 2 Tahun 1991).
Kaedah pelantikan Ketua Kampung terikat dengan “Manual Panduan Kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor Darul Ehsan” yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Dan Pembangunan Negeri Selangor Tahun 2001.
Justeru itu, sesiapa sahaja yang berminat boleh memohon untuk menjadi Ketua Kampung dengan mengisi borang yang boleh diperolehi di setiap pejabat daerah setelah diiklankan. Seterusnya, proses temuduga akan diadakan sebelum nama calon yang dipilih untuk dilantik disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Walau bagaimanapun, pelantikan ini adalah tertakluk dengan tempoh percubaan selama enam (6) bulan dan perlu lulus tapisan keselamatan sebelum disahkan pelantikan Ketua Kampung tersebut.
-
Adakah pelantikan Pengerusi JKKK Kg Tradisi yang baru akan dibuat mengikut pecahan yang dipersetujui oleh parti-parti pemerintah Selangor pada tahun ini? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.
Pelantikan Pengerusi JKKK Kampung Tradisi yang baharu akan dibuat mengikut kaedah pelantikan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan Pekeliling Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (Pekeliling Selangor Bil. 2 Tahun 1991) dan juga “Manual Panduan Kerja Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor Darul Ehsan”
yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Dan Pembangunan Negeri Selangor Tahun 2001. Bermula tahun 2012, pelantikan Ketua Kampung dibuat selepas ketiga-tiga parti pemerintah di Negeri Selangor bersidang di dalam mesyuarat taskforce yang dipengerusikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi. Melalui taskforce ini, persetujuan untuk melantik Ketua Kampung akan dicapai mengikut pecahan yang dipersetujui oleh parti-parti pemerintah.
Walau bagaimanapun, secara umumnya semua Ketua Kampung mesti bersedia menyokong dan menyampaikan segala dasar-dasar kerajaan negeri dengan merujuk buku “Manual Panduan Kerja Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor Darul Ehsan” pada perkara
-
Adakah semua Pengerusi JKKK Kg Tradisi menerima surat lantikan sebagai Penolong Pendaftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya memandangkan terdapat Pengerusi JKKK Kg Tradisi tidak tahu terdapat pelantikan sedemikian?
Urusan pelantikan sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (SPR) adalah di bawah bidang kuasa SPR. Pejabat Daerah dan Tanah bertanggungjawab untuk mengumpul maklumat dan menyerahkan kepada UPEN untuk dikemukakan kepada SPR bagi menguruskan pelantikan tersebut. Satu sesi taklimat juga telah diadakan pada 21 April 2015 kepada semua Ketua Kampung Tradisi bagi menerangkan akan perkara ini. Bagi semua permohonan yang lengkap, kad kuasa telah diberikan kepada Ketua Kampung tersebut. Namun begitu, masih terdapat Ketua Kampung yang belum dilantik disebabkan keciciran borang di peringkat penerimaan oleh SPR. Sehubungan itu, UPEN dengan bantuan Pejabat Daerah akan menyelaras dari aspek pengumpulan maklumat tersebut bagi memastikan semua Ketua Kampung dilantik sebagai Penolong Pendaftar Pemilih.