Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
243) BANJIR KILAT
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan yang telah diambil bagi menangani masalah banjir dari Econsave ke Puncak Alam dan di jalan Meru Tambahan berhadapan Mc Donald Puncak Alam?
JPS Negeri Selangor telah mengambil tindakan segera bagi menangani masalah banjir yang berlaku di kawasan Puncak Alam dengan melaksanakan kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan parit tanah sediaada pada hujung tahun 2015 dengan menggunakan peruntukan Mengurus Negeri. Untuk makluman Yang Berhormat, kawasan yang terlibat dengan masalah banjir tersebut adalah kawasan yang belum dibangunkan dan hanya bergantung kepada sistem perparitan tanah sediaada yang tidak dapat menampung kadar aliran air yang banyak semasa hujan
-
Taman Seri Alam, Saujana Utama turut dilanda banjir. Apakah puncanya dan langkah yang telah diambil?
Masalah banjir yang berlaku pada 13 Disember 2015 di Taman Seri Alam Saujana Utama berpunca disebabkan oleh saiz sistem saliran sediaada kecil dan tidak dapat menampung kadar aliran air yang banyak semasa hujan lebat. Justeru itu juga, limpahan air dari kolam takungan turut berlaku dan melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam
Walau bagaimanapun, JPS Negeri Selangor telah mengambil langkah segera dengan mengadakan perbincangan bersama pihak pemaju (Metro Kajang Holding) untuk membaiki dan membina ‘flood wall’ di kolam tadahan tersebut memandangkan penyerahan ke atas kolam belum diserahkan kepada pihak kerajaan. Pembinaan flood wall oleh pihak pemaju telah disiapkan pada bulan Februari 2016.
Bagi langkah jangka panjang pihak JPS Negeri Selangor akan melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap jumlah kapasiti aliran air untuk penyediaan rekabentuk sistem saliran di kawasan tersebut.