Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
128) PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN DESA DAN KAMPUNG TRADISI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini peserta yang telah menerima sumbangan melalui program ini?
Kerajaan Negeri sangat komited untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung di Negeri Selangor. Bermula tahun 2008, pelbagai program dijalankan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di bandar dan di desa khususnya. Melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek yang diadakan pada tahun 2015, penglibatan daripada peserta adalah seramai 600 orang. Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Program ini telah dilaksanakan secara berasingan di INPENS International College dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September tahun 2015. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM210,124.00.
Manakala bagi Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Industri Komuniti Kampung telah dilaksanakan pada bulan November tahun 2015. Program ini merupakan lanjutan Kursus Kemahiran Jangka Pendek yang bertujuan memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Program ini telah dihadiri oleh 95 orang peserta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM793,300.00. Pada masa ini hampir kesemua peserta bagi program Industri Komuniti Kampung telah memulakan perniagaan masing-masing dan memperoleh peningkatan pendapatan lebih 30%.
Pada tahun 2015 juga, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000.00 untuk melaksanakan Program 1 Daerah 1 Inkubator yang telah melibatkan sebanyak 4 buah inkubator di 4 daerah yang berasingan. Program ini dicadangkan untuk memberdayakan ekonomi warga desa dan kampung tradisi. Program ini juga akan meningkatkan taraf sosial rakyat Negeri Selangor ke arah kesejahteraan negeri. Inkubator yang disediakan adalah melibatkan kursus-kursus seperti berikut :
Daerah Jenis Inkubator Klang Penyaman Udara & Pendawaian Elektrik
Kuala Langat Pusat Kecantikan, Dandanan Rambut & Jahitan
Sabak Bernam Bengkel Motosikal Hulu Selangor Setakat ini sebuah inkubator iaitu di Klang telah memulakan operasi manakala tiga (3) buah inkubator lagi berada pada peringkat penyediaan tempat dan urusan-urusan pentadbiran.
-
Apakah inisiatif kerajaan negeri sekiranya terdapat peserta yang gagal?
- Melalui program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor telah mensasarkan golongan belia desa yang memiliki kelayakan, golongan ibu tunggal dan masyarakat desa yang berminat. Calon yang berminat akan ditemuduga untuk menilai komitmen
Selepas calon yang berkelayakan dikenal pasti, usahawan tersebut akan menubuhkan sebuah syarikat supaya selari dengan dasar kerajaan bagi menggalakkan pertumbuhan pesat di dalam sektor ekonomi. Syarikat ini akan beroperasi di sekitar daerah yang terlibat dengan peralatan yang akan disediakan. Set mobile ini akan dilengkapi dengan peralatan yang lengkap untuk kemudahan pelanggan.
Bagi program 1 Daerah 1 Inkubator, usahawan-usahawan akan diberikan modal permulaan dalam bentuk peralatan serta bahan guna habis yang akan digunakan untuk memulakan operasi.
Kerajaan Negeri turut memberikan insentif kepada usahawan-usahawan ini melalui latihan keusahawanan, dan diselia oleh INPENS dan ITKAU. Selepas tempoh latihan, gaji dan liabiliti-liabiliti lain seperti pembayaran bil manakala kos-kos lain akan dibayar dan diuruskan sendiri oleh usahawan yang menjalankan aktiviti keusahawanan tersebut.
Pihak INPENS International College dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) juga akan memberikan panduan dan penerangan awal kepada usahawan sebelum memulakan operasi dan memantau operasi keusahawan tersebut selama satu (1) tahun hingga dua (2) tahun maksimum, selain membantu memberikan bimbingan untuk memajukan perniagaan usahawan yang terlibat.