Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

239) WABAK DENGGI

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kes denggi dan kematian pada tahun 2017 berbanding dengan tahun 2016 mengikut daerah.

    Laporan situasi Denggi di negeri Selangor secara kumulatif bagi tahun 2017 pada Epid 28 iaitu sehingga 15 Julai 2017 adalah 29,394 kes telah direkodkan. Manakala bagi tempoh yang sama untuk tahun 2016 mencatatkan kumulatif kes sebanyak 33,111 kes. Jumlah kes Denggi bagi tahun 2017 menunjukkan pengurangan sebanyak 11% iaitu sebanyak 3,717 kes berbanding 2017.

    Kumulatif kes kematian pula adalah sebanyak 46 kes sehingga 15 Julai 2017 iaitu pengurangan sebanyak 0.4% berbanding tahun 2016 iaitu pengurangan 2 kes bagi tempoh yang sama. Jadual di bawah menunjukkan perbandingan kes denggi dan kematian bagi tahun 2016 dan tahun 2017 mengikut daerah.

      DAERAH ME

    27/2016

    ME

    28/2016

    KUMULATIF KES KUMULATIF KEMATIAN
    2017 2016 2017 2016
    Petaling 336 314 9,076 14,033 9 18
    Hulu Langat 350 484 9,018 6,798 20 17
    Klang 181 162 4,881 5,237 5 6
    Gombak 140 144 3,338 3,468 7 2
    Sepang 39 40 1,362 1,182 1 1
    Kuala Langat 23 21 812 1,034 1 1
    DAERAH ME

    27/2016

    ME

    28/2016

    KUMULATIF KES KUMULATIF KEMATIAN
    Hulu Selangor 26 9 452 733 2 2
    Kuala Selangor 11 17 334 432 1 1
    Sabak Bernam 6 2 121 199 0 0
    JUMLAH 1,112 1,193 29,394 33,111 46 48
  2. Nyatakan tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kes denggi dan menghapuskan nyamuk Aedes pada tahun 2017

    Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor telah merancang dan merangka beberapa program utama yang sedang dilaksanakan pada tahun 2017 dengan menggunapakai sepenuhnya peruntukkan berjumlah RM5 juta bagi memastikan kadar kes demam denggi dan kadar kematian di Negeri Selangor berkurang dari semasa ke semasa.

    Sebahagian besar peruntukan bagi tahun 2017 akan digunakan secara optimum dengan melantik Pest Controller Operator’ PCO di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut keperluan masing-masing. Penggunaan PCO ini dijangka dapat membantu pihak PBT dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam membuat aktiviti kawalan demam denggi terutama di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan hotspot.

    Kejayaan penurunan sebanyak 11% kes demam Denggi berbanding tahun 2016 ini tidak akan dicapai sekiranya pihak Kerajaan Negeri tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor yang turut serta melaksanakan aktiviti gotong royong di kawasan masing-masing dengan menggunakan peruntukan RM10,000 yang telah disalurkan.

    Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri meneruskan pengagihan peruntukan kawalan dan pencegahan Denggi sebanyak RM10,000 setiap ADN bagi bersama-sama membanteras denggi. Ahli-Ahli Yang Berhormat dimohon menggiatkan aktiviti gotong –royong memandangkan peruntukan telah disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing.

    Disamping itu, pada tahun ini pihak Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM350,000 kepada semua Pejabat Tanah dan Daerah bagi mengambil tindakan serta merta apabila mengenal pasti punca berlaku wabak. Mesyuarat mingguan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah atau wakilnya ini dipertanggungjawabkan untuk menyelaras semua aktiviti kawalan dan pencegahan di peringkat daerah masing-masing. Agensi di peringkat daerah akan dilibatkan termasuk wakil ADN dan ketua Kampung bagi mendapatkan kerjasama semua pihak.

    Kerajaan Negeri juga telah merancang beberapa program secara berperingkat untuk dilaksanakan secara menyeluruh di semua daerah melalui PBT dan PKD. Salah satu program yang telah dilancarkan pada awal bulan Februari yang lalu adalah Program Semburan Aerosol Selangor – SAS yang memfokuskan kawalan nyamuk aedes di dalam rumah.Program ini diteruskan oleh semua PBT dan ADN di peringkat masing-masing bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kawalan Denggi di dalam rumah dengan membuat semburan aerosol.

    Program SAS ini diteruskan di peringkat pengangkutan awam di Selangor di mana setiap pengusaha pengangkutan awam digalakkan untuk membuat semburan di dalam kenderaan awam masing-masing sebelum mengambil penumpang. Program ini melibatkan semua pengusaha Bas Smart Selangor,

    Bas Ekspress, Bas Berhenti-henti, Bas Sekolah, Bas Pekerja dan Pemandu Teksi.

    Memandangkan kes demam Denggi di daerah Hulu Langat sangat membimbangkan pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Negeri telah bersetuju melaksanakan OPS Denggi Selangor iaitu program bersepadu PBT bagi membanteras peningkatan denggi di daerah Hulu Langat. Program ini akan mengumpulkan PBT di Negeri Selangor untuk membantu melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan di lokaliti wabak yang terdapat di dalam daerah Hulu Langat dalam tempoh dua (2) bulan, iaitu bermula pada 22 Julai 2017. Setiap PBT dikehendaki untuk menghantar sekurangkurangnya satu pasukan berserta kelengkapan yang bersesuaian pada setiap hari Sabtu dan Ahad dalam tempoh tersebut. Program ini bertujuan untuk mengawal kes demam terutama di daerah Hulu Langat dan pada masa yang sama, aktiviti kawalan dan pencegahan di kawasan masing-masing akan terus dilaksanakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.