Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

228) HALAL SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob Bin Sapari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan untuk meningkatkan produk-produk halal keluaran IKS Selangor?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor telah merangka inisiatif bagi mempertingkatkan produk-produk usahawan dalam kategori produk halal. Beberapa program bagi peningkatan kualiti produk seperti Latihan/Kursus Keusahawanan, Program Peningkatan Keupayaan Reka Bentuk Pembungkusan Produk Usahawan Negeri Selangor (4P) dan Pameran/Ekspo bertaraf antarabangsa telah dirancang pada setiap tahun bagi memberi peluang kepada usahawan mempertingkatkan mutu dan pasaran produk mereka.

    KURSUS/LATIHAN

    Bagi usahawan di peringkat permulaan, Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus untuk memberi pendedahan mengenai kaedah bagaimana untuk mempersiapkan produk mereka sekurang-kurangkan untuk menembusi pasaraya tempatan. Pada kursus dan latihan yang dianjurkan beberapa modul berkaitan peningkatan kualiti produk seperti MeSTI, Halal dan Barcode merupakan modul yang wajib dilaksanakan pada setiap tahun bagi memberi pendedahan dan peluang kepada para usahawan untuk mengorak langkah maju ke hadapan dan meluaskan pasaran produk mereka.

     

     PROGRAM PENINGKATAN KEUPAYAAN REKA BENTUK PEMBUNGKUSAN PRODUK USAHAWAN NEGERI SELANGOR (4P) Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi Kerajaan Negeri mengadakan program ini khususnya kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke peringkat antarabangsa. Peserta yang menyertai program ini akan menjalani tiga (3) siri bengkel yang meliputi modul keperluan teknikal, strategi penjenamaan, peraturan pelabelan dan pembungkusan, keperluan dan peningkatan teknologi, proses pendaftaran jenama dan barcode, dan pembangunan asas kawalan kualiti ke arah perlaksanaan GMP dan persijilan Halal Malaysia. Pada akhir program usahawan akan mendapat cetakan pembungkusan yang mempunyai piawaian bukan sahaja untuk pasaran tempahan malahan antarabangsa.

    PAMERAN/EKSPO

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran.  Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menerima jemputan untuk menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor .  Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa.

  2. Adakah Selangor mempunyai logo halal sendiri?

    Halal adalah merupakan faktor yang penting bagi umat Islam dalam pemilihan makanan dan adalah wajib bagi umat Islam untuk hanya makan makanan yang bukan sahaja bersumberkan halal, tapi ia juga baik dan bersih.  Sijil dan logo halal bukan sahaja memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk itu halal mengikut syarak tetapi ia juga mempunyai implikasi besar kepada industri atau pengusaha yang mengeluarkannya.

    Aspek halal menjadi satu sistem kualiti dalam dunia perniagaan hari ini termasuk di peringkat global yang dapat menarik pelanggan Muslim dan bukan Muslim.

    Halal bukan sahaja dilihat dari sudut keagamaan tetapi satu komponen penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran halal global. Negara bukan Islam juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana aspek kualiti dan keselamatan.

    Hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) boleh mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.  Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 jelas memperuntukkan hanya Jakim dan MAIN sebagai pihak berkuasa atau autoriti mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau untuk memperaku bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan ataupun barang-barang itu adalah halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.  Bermula 1 Januari 2012, hanya logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM yang boleh digunakan dan diiktiraf di Malaysia dan tiada logo halal yang dikeluarkan mengikut negeri.

    Pensijilan Halal Malaysia bersifat sukarela, bukan wajib atau paksaan, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada JAKIM atau mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau MAIN. Ini juga bermakna JAKIM mahupun MAIN tidak sewenang-wenangnya mengharamkan atau membuat pengisytiharan tidak halal kepada mana-mana syarikat atau produk.

    Pemegang sijil halal terikat dengan beberapa standard halal dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.  Walaupun tidak wajib, mana-mana syarikat yang memilih untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, mereka perlu memohon melalui prosedur yang ditetapkan sekaligus terikat dengan segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

    Sijil Halal Malaysia dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.   Dunia mengiktiraf dan menyanjung tinggi sijil halal Malaysia dan negara-negara maju yang terkenal dengan dasar amat ketat dalam hal pengimportan barang-barang makanan ke negara mereka seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, New Zealand, Australia dan banyak negara maju yang lain mengiktiraf sijil halal Malaysia.

    Sehingga hari ini 33 negara telah memohon agar JAKIM mengiktiraf sijil-sijil halal yang dikeluarkan dan 56 badan pensijilan antarabangsa telahpun diiktiraf JAKIM. Bagi negara-negara yang telah mendapat pengiktirafan halal JAKIM, mereka dikehendaki mengikut sepenuhnya piawaian, garis panduan dan peraturan halal yang telah ditetapkan JAKIM.

  3. Sejauh mana logo halal Selangor boleh diterima di peringkat antarabangsa?

    Sama seperti di SUB(b)

Lampiran

Tiada Lampiran.