Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

168) LAPORAN EKONOMI NEGERI

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mengeluarkan laporan ekonomi negeri semasa yang lengkap?

    Kerajaan Negeri melalui UPEN telah berkolaborasi bersama Malaysian Institute of Economic Research (MIER) sejak tahun 2014 bagi menyediakan Laporan Ekonomi Negeri Selangor yang mengandungi laporan lengkap mengenai pencapaian ekonomi Negeri Selangor. Laporan ini disediakan bagi memantau pencapaian ekonomi dan melihat keberkesanan program dan projek yang dilaksanakan serta menjadi rujukan dalam merancang strategi baru untuk meningkatkan keberkesanan dan kebolehcapaian projek pada masa akan datang. Di samping itu, MIER juga menyediakan unjuran serta prospek bagi masa hadapan yang telah dibentangkan semasa Retreat EXCO pada Mac 2017.

  2. Apakah indikator dan maklumat penting tentang ekonomi negeri semasa?

    Prestasi ekonomi Negeri Selangor pada tahun 2015 mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.7%, iaitu 0.7% lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi Malaysia yang hanya tumbuh sebanyak 5.0%. Pencapaian pertumbuhan sebanyak 5.7% ini telah membolehkan Negeri Selangor menyumbang melebihi 1/5 daripada keseluruhan KDNK Negara secara berterusan untuk tempoh 5 tahun kebelakangan. Sumbangan sebanyak 22.6% atau bersamaan dengan RM239,968 juta pada 2015 merupakan rekod tertinggi yang pernah dicapai oleh Negeri Selangor sepanjang 2010 – 2015.

    Prestasi tersebut diukur berdasarkan prestasi 5 (lima) sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari serta pertanian. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan MIER menunjukkan pada tahun 2015 sektor perkhidmatan menyumbang 59.4% kepada ekonomi Negeri Selangor berjumlah RM142,609 juta diikuti sektor pembuatan 29.4% dengan nilai RM70,579 juta, pembinaan 6.2% berjumlah RM14,827 juta, pertanian memberi sumbangan sebanyak 1.6% berjumlah RM3,762 juta manakala perlombongan dan pengkuarian sebanyak 0.2% dengan jumlah RM513 juta.

    Setiap sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang positif kecuali sektor pertanian dalam tahun 2015. Sektor pembinaan tumbuh sebanyak 7.1% manakala sektor perkhidmatan tumbuh sebanyak 5.6%. Sektor pembuatan tumbuh 5.4% dan sektor perlombongan dan pengkuarian tumbuh 4.0%. Sektor pertanian mengalami penguncupan sebanyak 2.8%.

    Bagi aspek pelaburan pada tahun 2015 menunjukkan peningkatan sebanyak 13.1% (RM921.5 juta) yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada RM7,963.8 juta berbanding RM7,042.3 juta pada tahun 2014. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pelaburan pembuatan dalam barangan domestik iaitu sebanyak 17.0% atau sebanyak RM5,175.6 juta. Terdapat lebih kurang 222 buah projek perkilangan yang diluluskan oleh MIDA di Negeri Selangor pada tahun 2015. Sebanyak 53% pelaburan di Negeri Selangor dikuasai oleh pelabur tempatan dan 47% dari pelabur asing (FDI). Pelaburan domestik mencatatkan peningkatan sebanyak 9% iaitu sebanyak RM4,182.5 juta.

    Pencapaian cemerlang Negeri Selangor yang telah dikecapi pada hari ini sebagaimana hasil penemuan MIER adalah didorong oleh keupayaan tadbir urus institusi Kerajaan yang berlandaskan integriti, ketelusan, urus tadbir yang baik dan berwibawa yang menjadi asas nombor satu dalam memacu pembangunan ekonomi Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.