Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

166) KES RASUAH DAN PENYALAHGUNAAN KUASA KAKITANGAN AWAM DI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di kalangan kakitangan awam negeri Selangor?

    Berdasarkan rekod pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Selangor bermula Januari sehingga Jun 2017, tiada kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang disabitkan ke atas kakitangan awam di Negeri Selangor.

  2. Berapakah kertas siasatan yang telah dibuka SPRM melibatkan kakitangan awam negeri?

    Sejak Januari sehingga Jun 2017, terdapat 19 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melibatkan kakitangan awam di Negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, empat (4) daripadanya adalah penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri dan selebihnya 15 adalah penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Negeri Selangor. Kesemua kertas siasatan berkenaan masih dalam tindakan.

  3. Bagaimanakah dasar kerajaan negeri dapat mendidik penjawat awam menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan tadbir urus organisasi dan penginstitusian integriti dilaksanakan secara efisien dalam membendung sebarang bentuk salah laku di kalangan penjawat awam terutamanya yang melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam mencapai hasrat ini, antara dasar dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri melalui Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuklah

     

    • Mewujudkan hubungan langsung dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Selangor serta pihak Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) di Ibu Pejabat SPRM dalam mengambil langkah pencegahan serta penguatkuasaan terhadap jenayah salah laku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa;
    • Mewujudkan hubungan langsung dengan Unit Integriti di setiap jabatan/agensi dalam memberikan penerangan berkenaan integriti dan dalam masa yang sama membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi di kalangan kakitangan masing-masing;
    • Mengadakan kursus,seminar,bengkel dan taklimat berhubung tatakelakuan dan salahlaku rasuah;
    • Mengedarkan risalah-risalah berkaitan tatakelakuan dan salahlaku rasuah;
    • Memberikan komitmen akan turut serta menjayakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan mewujudkan inisiatif-inisiatif dalam membendung gejala rasuah; dan
    • Menyediakan saluran aduan integriti yang melibatkan penjawat awam melalui emel, talian telefon, faks, surat dan walk-in di Unit-unit Integriti yang ditubuhkan bagi memudahkan penyaluran aduan integriti sama ada dari kalangan kakitangan mahu pun orang awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.