Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

162) PELABURAN DAN HALAL HUB

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini pelaburan masuk ke negeri Selangor?

    Status terkini pelaburan masuk ke Negeri Selangor tidak dapat dinyatakan kerana sehingga kini pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia masih belum mengumumkan statistik pelaburan yang terkini bagi tahun 2017.

  2. Adakah kerajaan negeri mengambil kesempatan dasar hub halal tempatan & global. Jika 'Ya' apakah status perkembangan dasar ini di Selangor?

    Ya, secara dasarnya pihak Kerajaan Negeri mengambil peluang ke atas perkembangan dan juga dasar hab tempatan serta global bagi industri halal ini. Industri halal pada masa kini adalah merupakan satu industri yang berkembang dengan cepat dan mendapat permintaan yang sangat tinggi dari dalam dan luar negara.

    Beberapa inisiatif telah dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri khususnya dalam perkembangan industri hab halal ini. Penubuhan Majlis Halal International

    Selangor yang dipengerusikan sendiri oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar adalah merupakan langkah awal yang telah dilaksanakan bagi merealisasikan manifesto dan meletakan Selangor sebagai Hab Halal terulung di Malaysia dan global.

    Majlis Halal International Selangor juga berperanan dalam memantau dan memberi fokus pelaburan dari sektor industri Halal yang mana ianya menambah baik Negeri Selangor sebagai negeri yang maju, berdayasaing dan prodagangan.

    Pihak Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan sebuah organisasi   “Halal International Selangor” yang akan turut memainkan peranan dalam perkembangan hab halal ini di Negeri Selangor.

     Halal International Selangor juga akan terlibat dalam membangunkan serta memantau pelaksanaan inisiatif industri halal di Negeri Selangor. Selain daripada itu, syarikat ini turut berperanan dalam melaksanakan program-program latihan yang telah dirancang.

     

    Pihak Invest Selangor Berhad juga telah mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama diantara pihak Malaysia Airport Holdings Berhad dan Northport (Malaysia) Berhad sebagai entiti penting hab halal di Selangor. Gabungan lapangan terbang dan pelabuhan ini memberi impak yang sangat positif dalam ekosistem hab halal di Selangor dan Malaysia.

    Selain itu, Invest Selangor juga sedang meneroka potensi kerjasama dengan beberapa pihak di Eropah serta Taiwan di dalam industri halal ini.

    Dalam merealisasikan manifesto Selangor sebagai Halal Hub yang terulung pihak Invest Selangor dalam proses untuk menyediakan sebuah blueprint khusus bagi industri halal di Negeri Selangor. Blueprint ini juga akan menggetengahkan Selangor sebagai “Global Halal Ingredient Hub” dimana ianya akan menjadi teras utama kepada perkembangan industri halal di Selangor, terutamanya diperingkat antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.