Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
146) SARA HIDUP WARGA EMAS
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah warga emas di negeri Selangor?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, berdasarkan statistik Jabatan Statistik Malaysia sehingga tahun 2015, jumlah warga emas di Negeri Selangor adalah seramai 465,500 orang.
-
Berapakah jumlah warga emas yang mendiami pusat-pusat jagaan orang tua?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sehingga Jun 2017, terdapat seramai 1,493 warga emas yang mendiami 70 pusat-pusat jagaan orang tua kendalian NGO dan pihak swasta yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan 3 institusi kebajikan warga emas kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat di Negeri Selangor.
Pecahan statistik adalah seperti berikut:
Institusi
Jumlah Warga
Emas
Institusi Kebajikan kendalian JKM 377 Pusat Jagaan Berkediaman warga Emas Kendalian NGO dan Swasta 1,116 JUMLAH 1,493 Sumber : Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri
Selangor
-
Adakah kerajaan bercadang memberi bantuan sara hidup untuk warga emas?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sememangnya telah melaksanakan bantuan sara hidup khusus untuk warga emas melalui skim Bantuan Orang Tua secara bulanan di bawah Skim Bantuan Persekutuan. Kelulusan bantuan ini berdasarkan kepada syarat kelayakan am permohonan bantuan :
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia dan jika Penduduk Tetap (PR) hendaklah bermastautin di Malaysia sebelum tahun 1957;
- Pendapatan keluarga tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia;
- Golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan dengan mengambilkira lain-lain faktor seperti bilangan anak/tanggungan yang tinggal bersama dan berasingan, tahap ketidakupayaan ketua keluarga atau ahli keluarga, sokongan dari ahli keluarga, keadaan dan kelengkapan rumah berdasarkan keperluan keluarga dan faktor-faktor lain yang munasabahserta boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan dan perbelanjaan harian pemohon/keluarga.
Walau bagaimanapun, kategori bantuan ini mempunyai syarat kelayakan khusus bagi melayakkan seseorang pemohon bantuan ini. Berikut adalah syarat kelayakan khusus Bantuan Orang Tua :
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
- Tiada mata pencarian tertentu untuk menyara hidup;
- Tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan.
Berikut adalah jumlah penerima Bantuan Orang Tua mengikut daerah di Selangor :
Daerah Jumlah Penerima Klang 1,713 Gombak 820 Hulu Langat 1,284 Kuala Langat 992 Hulu Selangor 1,827 Sepang 306 Kuala Selangor 498 Sabak Bernam 1,018 Petaling 1,975 JUMLAH 10,433